Exco puji amalan kitar semula NGO

BUKIT TAMBUN – Jumlah berat barangbarang kitar semula yang berjaya dikumpulkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Buddhist Tzu Chi Foundation pada tahun 2011 adalah 28.77 tan metrik.

Jumlah tersebut terus meningkat kepada 29.47 tan metrik pada 2012, 30.11 tan metrik (2013), 30.53 tan metrik (2014) dan 32.21 tan metrik (2015).

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, amalan kitar semula yang dilaksanakan oleh pertubuhan tersebut sejak lima tahun lalu merupakan antara penyumbang terbesar kepada peningkatan kadar peratus kitar semula Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Empat bulan pertama tahun 2011, NGO ini hanya berjaya mengutip barang-barang kitar semula seberat 2.61 tan sahaja, tetapi angka itu terus meningkat saban tahun.

“Dan, sehingga bulan Ogos tahun ini (2016), mereka (Buddhist Tzu Chi Foundation) berjaya mengutip barang kitar semula seberat 21.43 tan metrik.

“Kami (Kerajaan Negeri) amat berterima kasih atas inisiatif NGO ini, dan mengharapkan mereka dapat menjayakan amalan (daripada) Dasar Pengasingan Sisa Di Punca pula selepas ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota ketika mengadakan lawatan ke Pusat Kitar Semula Taman Tambun Indah di sini baru-baru ini.

Turut serta, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani. Tambah Kon Yeow, Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dilaksanakan sejak 1 Jun lalu, dan akan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017.

Sebelum itu, wakil Buddhist Tzu Chi Foundation, Lim Lee Ping memberitahu, pihaknya mengumpul barang-barang buangan yang boleh dikitar semula dari kira-kira 35 unit rumah di Taman Bukit Tambun, kawasan-kawasan sekitar serta beberapa kilang di sini.

Beliau yang juga penyelia operasi di pusat sumber kitar semula menyatakan bahawa lokasi di sini dijadikan tempat pengumpulan kertas, logam, kaca, plastik, peralatan elektrik dan sisa dapur.

“Wang yang dikumpul (daripada hasil menjual barang-barang yang dikitar semula) ini kemudiannya akan digunakan untuk tujuan amal.

“Kami amat berterima kasih kepada penduduk setempat yang turut bertungkus-lumus menjayakan amalan kitar semula ini,” jelasnya. Kadar kitar semula MPSP dan negeri masingmasing direkodkan paling tinggi di Malaysia, iaitu 39 peratus dan 32 peratus.