MPSP jimat RM12 juta setahun jika amalan sisa sifar berjaya

Gambar : SHUM JIAN-WEI

SUNGAI PUYU – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mampu menjimatkan kira-kira RM12 juta setahun sekiranya amalan sisa sifar berjaya dilaksanakan di ketiga-tiga daerah bahagian Seberang Perai.

Justeru Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap komuniti di semua peringkat saling bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan, dalam menjayakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca serta amalan sisa sifar.

“Amalan sisa sifar adalah satu langkah ke hadapan daripada amalan pengasingan sisa di punca, seperti di negara-negara maju.

“Apabila sisa seperti sampah juga boleh dijadikan ‘faedah’ serta tidak dibuang begitu sahaja (ke tapak pelupusan sampah), barulah berjaya amalan sisa sifar ini.

“Kita nak jadi negeri hijau di tahap antarabangsa juga, maka kadar kitar semula mesti lebih 40 peratus dan sekarang 32 peratus kadar kitar semula, Pulau Pinang sudah pun tertinggi di Malaysia,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sisa Sifar di Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Bagan Dalam di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Boh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu dan Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Tambah Guan Eng, amalan sisa sifar mampu mempercepat sasaran bersama, yang mahu Pulau Pinang dikenali sebagai ‘negeri hijau pertama negara’ sebelum tahun 2020.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut merakamkan ucapan tahniah atas pelbagai pencapaian MPSP di peringkat nasional dan antarabangsa, sehingga melayakkan Maimunah dipilih sebagai Presiden baharu bagi kesemua 149 PBT Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, Maimunah memberitahu, kadar kitar semula MPSP sebenarnya 39 peratus ketika ini, sungguhpun kadar kitar semula Pulau Pinang adalah 32 peratus.

“(Kadar kitar semula MPSP dan Pulau Pinang) ini telah melebihi kadar sasaran 20 peratus yang ingin dicapai di peringkat kebangsaan menjelang tahun 2020,” jelasnya.

Tambahnya, MPSP mampu menjimatkan RM11,110 tipping fee dalam sehari atau jika 50 peratus daripada 1,100 tan sampah yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung berjaya dikurangkan kelak.

“Dengan pengurangan sebanyak 50 peratus sisa (baki) ini, penjimatan dalam tempoh sebulan ke atas tipping fee ialah RM333,000 dan untuk setahun, penjimatan MPSP akan mencecah RM4 juta,” jelas beliau.