COVID-19: Kerajaan Negeri tempah 6 juta pelitup muka, operasi premis perniagaan essential dihadkan masa operasi

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah menempah 6 juta pelitup muka (face mask) bagi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan (frontliners) dan golongan masyarakat yang memerlukan susulan penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa rundingan telah diadakan dengan pihak pembekal dan bekalan (pelitup muka) akan diterima secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa.

“Bekalan topeng muka ini akan diagihkan mengikut keutamaan dan keperluan kepada petugas barisan hadapan bagi memperkasakan lagi tugas mereka serta masyarakat yang memerlukan.

“Tempahan ini akan sampai secara berperingkat-peringkat dan pengedarannya akan dilakukan sejurus bekalan diterima yang mana pihak Kerajaan Negeri akan memberikan makluman berhubungnya dari semasa ke semasa termasuk bahan-bahan keperluan lain seperti termometer, pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan sebagainya.

“Malah hari ini juga, Kerajaan Negeri telah membekalkan ribuan pensanitasi tangan dan termometer infra merah kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT), pasukan-pasukan keselamatan bagi memperkasakan lagi petugas-petugas barisan hadapan,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa nasib warga kurang upaya serta warga emas yang tinggal bersendirian turut memperoleh perhatian Kerajaan Negeri melalui bantuan khas bekalan makanan oleh para sukarelawan.

Kon Yeow berkata demikian ketika ucapan siaran langsung menerusi laman Facebook peribadi beliau sejurus mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang bersama-sama agensi-agensi bertanggungjawab sebentar tadi.

Merujuk kepada perkembangan semasa, Kon Yeow memaklumkan bahawa Pulau Pinang bakal menerima RM10 juta daripada keseluruhan peruntukan RM130 juta yang diumumkan Perdana Menteri semalam bagi membantu pentadbiran Kerajaan Negeri menangani krisis COVID-19.

“Kita (Kerajaan Negeri) akan gunakan peruntukan ini untuk menyokong Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam apa jua bentuk bantuan segera yang diperlukan pihak berkaitan… melengkapkan lagi kelengkapan sedia ada, bekalan atau sebagainya untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan bagi membantu mangsa yang terkesan dalam menangani wabak ini.

“Kerajaan Negeri akan melihat bagaimana boleh membantu daripada segi penyediaan kemudahan seperti bilik-bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) yang amat diperlukan nanti,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa hasil makluman daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di peringkat negeri berada pada kadar 90 peratus berbanding seluruh negara (92 peratus).

Justeru, bagi mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri Pulau Pinang, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan melaksanakan dua langkah tambahan iaitu laluan Central Area Transit (CAT) tidak akan beroperasi sepanjang tempoh perintah berkuat kuasa.

“Dan kedua, semua premis-premis perniagaan (essential service businesses) hanya dibenarkan untuk beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam setiap hari berkuat kuasa esok, 25 Mac 2020,” ulasnya.

Berhubung maklum balas kelulusan operasi kilang di Pulau Pinang, Kon Yeow berharap pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat memperketatkan syarat-syarat pengoperasian syarikat/kilang yang diberikan kebenaran beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa.

“Ini adalah sebahagian daripada Perintah Kawalan Pergerakan untuk membenarkan industri-industri yang tergolong dalam essential services untuk beroperasi dan garis panduan adalah daripada pihak MITI,” katanya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALVIE CHENG
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI