COVID-19: KM minta rakyat beri kerjasama, duduk di rumah

GEORGE TOWN – Seiring dengan perkembangan semasa wabak COVID-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memberi jaminan bahawa tidak akan membiarkan rakyat di negeri ini terancam tanpa mengambil sebarang tindakan tegas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Walau bagaimanapun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar semua pihak di negeri ini dapat memberi kerjasama serta sokongan dengan mematuhi semua peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020.

“Dalam tempoh kritikal 14 hari ini, kita (pihak kerajaan) amat memerlukan sokongan serta pengorbanan semua pihak daripada orang biasa sehinggalah pakar-pakar perubatan untuk menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Mesej yang disampaikan amat mudah (iaitu) duduk di rumah, jangan keluar kerana ini akan meningkatkan lagi risiko jangkitan dan boleh melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan apabila bilangan kes dijangkiti tidak dapat dibendung seperti yang berlaku di Itali.

“Sudah sampai masanya semua rakyat jelata perlu serta wajib bekerjasama dalam tempoh 14 hari ini yang akan membawa perubahan positif.

“Maka, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru kepada semua rakyat untuk menyokong dan mematuhi perintah ini supaya ‘frontliners’ (petugas barisan hadapan termasuk pakar perubatan) dapat menumpukan perhatian terhadap perawatan serta pengesanan kontak sedia ada,” ujarnya sejurus menghadiri sesi taklimat situasi semasa COVID-19 oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang di Komtar pagi ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali; Ahli-Ahli Majlis serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa menyokong apa jua tindakan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Hal ini, termasuk penambahbaikan serta sumbangan peralatan perubatan, test kits bagi memudahkan kerja-kerja di hospital-hospital di Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia memberi sumbangan untuk membeli peralatan (perubatan berkaitan) supaya ‘frontliners’ dapat menjalankan tugas dengan kelengkapan yang mencukupi.

“Ia juga akan membolehkan ‘frontliners’ menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kerja-kerja genting melawan wabak COVID-19 ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jagdeep turut menzahirkan pujian dan penghargaan terhadap inisiatif yang dilakukan oleh kedua-dua Majlis Bandaraya (pihak berkuasa tempatan) dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Saya tahu bukan mudah tetapi kita perlu tabah dan sama-sama menghadapi situasi getir ini.

“Oleh itu, penting untuk semua pihak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak ini,” tegasnya.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa melalui inisiatif Operasi Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh Skuad Khas MBPP COVID-19 semalam, sebanyak 253 notis dikeluarkan terhadap premis yang ingkar.

“Jumlah tersebut termasuk, establisymen makanan (71); pasar malam (41); hiburan (31) dan tred (110),’’ ulasnya.

Dalam pada itu, Tung Seang turut memaklumkan bahawa MBPP telah mengambil pelbagai inisiatif sejak Januari 2020 termasuk memperkasakan lagi inisiatif ‘Cleaner, Greener, Safer and Healthier Penang’.

“MBPP juga mengguna pakai segala platform yang ada bagi memberi pendidikan kepada orang awam berpandukan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke masa.

“(Dan) MBPP akan terus membantu kerajaan mengawal pergerakan orang ramai termasuk menyebarkan maklumat berkaitan yang tulen dan sahih serta memperkasakan kempen ‘Penang Lawan COVID-19’,” jelasnya.

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mengikut peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengalaman Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang awam.

Hari yang sama juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan kempen khas ‘Penang Lawan COVID-19’ bagi menyalurkan maklumat serta panduan yang sahih mengenai tatacara pencegahan dan menyekat penyebaran maklumat tidak benar tentang wabak tersebut.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS