COVID-19: Kon Yeow lawat Hospital Seberang Jaya, bertemu barisan hadapan

SEBERANG JAYA – Masuk hari ke-36 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang pada petang tadi mengadakan lawatan khas ke Hospital Seberang Jaya.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin diiringi Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Asmayani Khalib turut sertai lawatan berkaitan.

KETUA Menteri dan pemimpin Kerajaan Negeri diberi taklimat khas mengenai tahap kesiapsiagaan Hospital Seberang Jaya sebagai ‘hospital berpusat Seberang Perai’ bagi menghadapi COVID-19, di sini pada petang tadi.

Pengarah Hospital Seberang Jaya, Dr. Saiful Azlan Sharif yang memberikan taklimat ringkas mengenai tahap kesiapsiagaan Hospital Sebernag Jaya bagi operasi penyaringan mereka yang berisiko dijangkiti COVID-19

Menurut Saiful Azlan, Hospital Seberang Jaya berada pada tahap kesiapsiagaan sebagai hospital berpusat bahagian Seberang Perai bagi membuat saringan terhadap mereka yang berisiko dijangkiti wabak COVID-19.

Tambah beliau, Hospital Bukit Mertajam, Hospital Kepala Batas dan Hospital Sungai Bakap akan memainkan peranan sebagai hospital sokongan pada ‘hospital berpusat Seberang Perai’.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut mendapatkan maklum balas lanjut berhubung tahap keselamatan serta kebajikan barisan hadapan dalam kalangan doktor dan jururawat di hospital berkenaan.

Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan ke pusat saringan COVID-19 iaitu Wad 4 dan pusat saringan sementara yang berhampiran Bahagian Kecemasan di sini.

Sehingga kini, difahamkan, tiada pesakit positif COVID-19 menjalani proses saringan ataupun rawatan di hospital ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD