COVID-19: Nelayan lega dapat RM400 bantuan Kerajaan Negeri menjelang Aidilfitri

Admin

BAYAN LEPAS – Bahar Siraj, 84, antara 376 nelayan persisiran pantai berlesen bagi bahagian Pulau yang disenaraikan layak menerima RM400 tunai insentif bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada pagi ini.

BAHAR Siraj

Beliau, sudah lebih 50 tahun mencari rezeki di laut memberitahu bahawa pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 lepas, sedikit banyaknya menjejaskan pendapatan harian beliau.

“Kalau air besar, laut bergelora, memang tak boleh turun ke laut.

“Selalunya, saya akan buat kerja-kerja lain sebab nelayan pantai ini pendapatan harian, bukan macam kakitangan kerajaan, ada gaji tiap-tiap bulan.

“Apabila Kerajaan (Persekutuan) umum PKP, semua kena duduk rumah sahaja, kalau air pasang, saya juga tak boleh buat kerja atas darat untuk cari duit.

“Sepatutnya, ada bantuan daripada bantuan kewangan, tapi saya pun tak tahu sebab apa tak dapat bantuan Kerajaan Persekutuan (di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin) baru-baru ini.

“Mujurlah dekat musim raya (Aidilfitri) ini, dapat juga bantuan RM400 daripada Kerajaan Negeri,” jelasnya dalam nada gembira ketika ditemui dalam Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Khas Nelayan Persisiran Pantai (Zon A) di Dewan Gerakan Masyarakat PERDA, Teluk Kumbar di sini pada 21 Mei 2020.

Bahar merupakan anggota Unit Nelayan Permatang Damar Laut.

ROSLI Yusoff

Rosli Yusoff, 62, yang ditemui kemudian turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kerana mengumumkan pemberian insentif bantuan kewangan khas RM400, di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0.

“Saya ada mohon BPN (Bantuan Prihatin Nasional) apabila Kerajaan Pusat umum Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, tapi tak dapat, atas sebab ada akaun syarikat di bawah SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) baru-baru ini.

“Lebih 25 tahun turun ke laut, hasil pendapatan kami ikut hari, kalau air besar macam dua tiga hari ini, saya tak turun ke laut yang alun air bergelora sangat.

“Sebab itulah, kebiasaannya semua nelayan (persisiran) pantai memang ada kerja sampingan, macam saya ada kedai jual jaring.

“Tapi, sebelum PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) diumumkan, syarikat perniagaan pun (pada fasa-fasa awal PKP) memang tak dibenarkan beroperasi.

“Jadi, saya hampir putus asa apabila permohonan BPN saya ditolak…mujurlah nak dekat raya (Aidilfitri) ini ada juga Kerajaan Negeri beri RM400 insentif bantuan,” katanya, yang juga anggota Unit Nelayan Permatang Tepi Laut.

AHMAD Khuzaimi Rossli

Nada yang sama turun diluahkan oleh seorang lagi penerima Bantuan Kewangan Khas Nelayan Persisiran Pantai, Ahmad Khuzaimi Rossli, 31.

Menjadi nelayan sejak berusia 12 tahun lagi, nelayan muda itu memberitahu beliau bangga menjadi nelayan persisiran pantai negeri kira-kira hampir dua dekad.

Beliau memberitahu, menjelang hari lebaran yang kian kunjung tiba, beliau mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

“Walaupun nelayan boleh turun ke laut ketika PKP, bukan tiap-tiap hari boleh turun ke laut, jadi pendapatan harian saya tak boleh bergantung pada hasil tangkapan laut sahaja…(maka,) saya ada buat kerja-kerja kampung lain.

“Namun, hasil tangkapan laut saya terjejas juga disebabkan, ketika COVID-19, aktiviti tangkapan pakai pukat tunda dalam kawasan (perairan) 20 batu nautika.

“Kesannya hasil tangkapan nelayan (pesisiran) akan terjejas begitu teruk, kerana segala hasil laut tak kira anak ikan atau dan sebagainya akan disauk oleh pukat tunda ini, (sekaligus) menjejaskan perkembangan habitat laut.

“Tapi, menjelang Aidilfitri ini, saya boleh menarik nafas lega, setelah dapat RM500 bantuan kewangan BPN (daripada Kerajaan Persekutuan), pada pagi ini saya dapat RM400 bantuan kewangan khas daripada Kerajaan Negeri pula,” jelasnya yang juga anggota Unit Nelayan Permatang Damar Laut.

Difahamkan, acara pemberian Bantuan Kewangan Khas Nelayan Persiriran Pantai Peringkat Bahagian Pulau di sini melibatkan 676 orang nelayan yang ada berlesen.

Seramai 291 nelayan berlesen lain turut menerima sumbangan bantuan sama dalam acara berasingan bagi peringkat bahagian Seberang Perai di Dewan Serbaguna Sungai Dua, dekat Kawasan Parlimen Tasek Gelugor.

Menurut Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN), Mohd Hafiz Zamri memberitahu bahawa pada hari esok turut dilangsungkan acara pemberian sumbangan bantuan serupa melibatkan 681 nelayan persisiran pantai mengikut saringan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), iaitu 344 nelayan bahagian Pulau dan bahagian Seberang Perai (337 orang nelayan).

Kesemua angka penerima sumbangan bantuan kewangan khas yang diumumkan ini adalah tidak termasuk mereka yang menerima bantuan melalui hantaran bank, secara langsung.

Di sini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dengan diiringi Penghulu Mukim 9 Teluk Kumbar, Talib Zakaria dan Timbalan Pengarah Projek bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), Azmi Mohamad turut memantau perjalanan acara penyampaian bantuan khas tersebut mengikut tatacara operasi standard (SOP) PKPB, demi memastikan usaha memutuskan semua rantaian perebakan wabak COVID-19 berjaya.

“Walaupun Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0 yang diumumkan sebelum ini tidak ada skim bantuan kewangan khusus kepada nelayan, tetapi Alhamdulillah dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 yang diumumkan baru-baru ini ada RM400 Bantuan Kewangan Khas untuk mereka (nelayan persisiran pantai) di negeri ini.

“Pada kesempatan ini, ingin saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana begitu prihatin pada semua golongan rakyat yang terjejas sepanjang tempoh PKP ini.

“Bukan sahaja nelayan yang ada lesen dapat bantuan RM400 secara ‘one-off’, bahkan, yang mereka yang tak ada lesen, juga nelayan-nelayan tak aktif tetapi dikenal pasti layak ikut LKIM untuk menerima bantuan kewangan RM400 ini, bagi saya (pentadbiran) YAB Ketua Menteri begitu prihatin pada hampir semua golongan yang terjejas akibat PKP,” jelasnya.

Menjelang tengah hari tadi, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin dengan diiringi ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dalam suatu lawatan berasingan turut memantau perjalanan acara pemberian sumbangan tunai di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN