COVID-19: Pakej bantuan MBSP kurangkan beban penduduk Seberang Perai

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengumumkan pakej bantuan demi mengurangkan beban penduduk di Seberang Perai yang terjejas dek penularan pandemik COVID-19.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, pakej bantuan tersebut mengandungi tiga inisiatif iaitu pemberian lesen bertempoh kepada industri yang beroperasi tanpa kebenaran, promosi cukai taksiran serta promosi pengurangan kompaun.

Beliau berkata, melalui inisiatif pemberian lesen sementera, MBSP telah melonggarkan syarat kepada pemilik-pemilik kilang untuk mendapatkan lesen bertempoh selain dibenarkan memohon Pelan Kebenaran Merancang (PKM) serta pelan bangunan.

Sr. Rozali Mohamud ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP pagi tadi.

Katanya lagi, tawaran tersebut adalah terhad dan dibuka mulai 1 September 2020 hingga 31 Disember 2020 sahaja.

“Sebanyak 468 kilang layak menyertai program pemutihan tetapi hanya 47 kilang atau 10 peratus sahaja yang memohon dan diluluskan, manakala baki 421 lagi tidak memohon atau permohonan mereka ditolak atas pelbagai alasan.

“Ekoran itu, MBSP meneliti halangan-halangan yang dihadapi oleh 421 pengilang ini bagi membantu mereka sesuai dengan suasana pandemik COVID-19 ketika ini selain dapat merancakkan kembali ekonomi negeri.

“Daripada jumlah itu, terdapat 339 buah kilang layak untuk dipertimbangkan lesen bertempoh dan dibenarkan memohon PKM serta pelan bangunan dengan syarat yang minimum.

“Justeru, pemilik-pemilik kilang diminta memanfaatkan peluang ini supaya mereka dapat meneruskan perniagaan khususnya dalam keadaan penularan COVID-19 ini tanpa risau tentang tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh MBSP dekat Menara Bandaraya, di sini pagi tadi.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mohamud; Ahli-ahli Majlis bagi MBSP serta ketua-ketua jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Dalam pada itu, Rozali menjelaskan bahawa MBSP juga mengadakan promosi cukai taksiran khas bagi pembayaran secara dalam talian (online), agensi kutipan dan kiosk mulai 1 Julai hingga 31 Ogos 2020.

Menurutnya, promosi cukai taksiran penggal kedua tahun ini menawarkan hadian wang tunai sehingga RM7,000.

“Promosi ini diadakan istimewa kepada seluruh pemilik premis di Seberang Perai sebagai insentif dan galakan supaya membayar cukai taksiran serta menjelaskan tunggakan dengan kadar segera,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, MBSP juga melakukan beberapa perubahan dengan memperkenalkan QrBill sejak 2018 bagi memudahkan penduduk mengemas kini maklumat serta menyemak profil, nombor telefon bimbit dan alamat e-mel.

“Setiap bil MBSP akan dibekalkan dengan Kod QR yang disambungkan terus dengan saluran bayaran di laman web MBSP.

“Pemilik premis hanya perlu melakukan tiga langkah iaitu imbas Kod QR menggunakan telefon pintar, isi maklumat dan hantar. MBSP kemudiaannya akan menghantar bil melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke nombor telefon masing-masing.

“Inisiatif ini adalah usaha ke arah mencapai bandar pintar, rendah karbon dan masyarakat tanpa tunai seperti mana disasarkan oleh Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow iaitu 50,000 transaksi tanpa tunai mesti berlaku di Pulau Pinang sebelum 31 Disember 2020,” ulasnya lagi.

 

Difahamkan, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 4,959 transaksi bayaran cukai menggunakan Kod QR yang mana RM1,562,781.05 berjaya dikutip pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan bahawa MBSP juga menawarkan pengurangan kompaun melibatkan kompaun dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dengan kadar RM100.

Jelasnya lagi, pengurangan kompaun juga diberikan kepada kompuan yang dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil MBSP (RM50) dan kompaun bagi kesalahan di bawah Perintah Lalulintas (Letak Kereta Berkupon) MPSp 1995 (RM5).

“MBSP memandang serius kes kompaun yang tidak dijelaskan ini kerana berdasarkan rekod, sebanyak 3,409 kes melibatkan kompaun letak kereta yang telah siap difailkan untuk dirujuk bagi tindakan pendakwaan di mahkamah.

“Selain itu, sebanyak 1,236 kes melibatkan binaan tanpa kebenaran dan 2,421 kompaun melibatkan perniagaan.

“Memandangkan berlaku penularan COVID-19 ketika ini, MBSP pertimbang untuk memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menjelaskan kompaun mereka,” tegasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar “ NOOR SITI NABILAH NOORAZIS