Covid-19: Segera daftar EFT, pembayaran insentif warga emas secara tunai ditangguhkan – Exco

GEORGE TOWN – Proses pembayaran RM150 kepada baki 157,335 orang penerima Program Penghargaan Warga Emas Fasa 1/2020 yang telah dijadualkan dalam waktu terdekat ini, ditangguhkan serta-merta sebagai langkah pencegahan gelombang kedua Covid-19.

Mengulas lanjut, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memutuskan kaedah alternatif dengan membuat pembayaran secara terus (electronic funds transfer, EFT) ke akaun bank penerima yang layak.

Justeru, beliau menasihatkan para penerima segera ke Pusat Khidmat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) atau Pejabat Daerah masing-masing untuk urusan pendaftaran EFT.

“Daripada 191,858 penerima yang layak, 34,523 penerima yang ada EFT telah mendapat 17 Februari (2020) lepas.

“(Baki 157,335 orang) yang masih belum ada EFT, segeralah daftar EFT,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu kepada pemberita di Komtar pada 12 Mac 2020.

Beliau memberitahu langkah pencegahan tersebut diumumkan selepas mendapat nasihat langsung daripada wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dalam suatu mesyuarat semalam.

Boon Poh memberitahu penangguhan bagi sesi pembayaran terdekat antara 14 hingga 22 Mac ini termasuk bagi KADUN Datuk Keramat, Permatang Berangan, Sungai Dua dan Berapit.

“Bagi penerima yang telah menerima notis makluman bayaran (secara tunai) di KADUN masing-masing, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah menghantar mesej melalui sistem pesanan ringkas menggunakan kaedah SMS Blasting.

“(Selain itu,) ADUN atau Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) melalui Pusat Khidmat akan cuba mengenal pasti dan memaklumkan perkara ini bagi pemohon yang tiada maklumat lengkap seperti tiada nombor telefon dalam sistem di kawasan (KADUN) masing-masing,” jelasnya lagi.

Sehingga kini, gelombang kedua Covid-19 menyaksikan peningkatan kepada 129 kes.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS