Cuai proses keluar wang, gesa bertindak terhadap rayuan

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ahli ParlimenTanjung, Ng Wei Aik menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan sebuah bank terkemuka negara supaya bertanggungjawab terhadap rayuan pengadu, Chan Phaik Boi berhubung ‘kehilangan’ wang simpanan mendiang ibunya berjumlah RM53,100.80 yang dipercayai dikeluarkan secara tidak sah.

Menurut Wei Aik, beliau ingin membela Phaik Boi kerana berdasarkan kronologi kes sejak tahun 1997, ia dipercayai menunjukkan terdapat beberapa unsur penipuan serta kecuaian pihak bank dalam mengendalikan kes pengeluaran sejumlah wang tersebut.

“Phaik Boi pernah memberitahu pihak bank sekiranya mendiang ibunya, Tan Siew Kee datang bersama pihak lain untuk mengeluarkan wang daripada akaunnya, mereka (pihak bank) diminta menghubungi beliau terlebih dahulu, malangnya pihak terbabit dipercayai gagal berbuat demikian.

“Permintaan itu disuarakan ekoran mendiang dipercayai tidak dapat berfikiran secara waras akibat penyakit kanser payudara dan ‘metastasis’,’’ ujarnya pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Tanjung di sini baru-baru ini.

Tambah Wei Aik, pengadu yang menetap di Alor Setar, Kedah sudah empat kali ke mahkamah serta membelanjakan hampir RM50,000 dalam mengendali serta menuntut keadilan sewajarnya ke atas kes terbabit.

Wei Aik dalam sepucuk surat kepada BNM bertarikh 19 November 2013 turut mengemukakan rayuan kepada pihak bank berdasarkan 16 salinan bukti dikemukan bagi menyatakan pengeluaran yang pernah berlaku pada 30 April 1998 kepada akaun salah seorang individu adalah tidak sah dan pihak bank perlu bertanggungjawab.

“Penolong Pendaftar Penjenayah Malaysia, R. Sivasangar dalam laporannya bertarikh 4 Februari 2013 telah membuat pemeriksaan dan perbandingan cap-cap jari.

“Kesimpulannya, cap-cap jari pada dokumen pengeluaran wang simpanan tetap pembukaan akaun semula bersama individu berkaitan sama sekali tidak serupa dengan cap jari asal Tan Siew Kee (mendiang),” tegas beliau.

Justeru, Wei Aik berharap pihak bank bertanggungjawab dapat mendengar dan memberi keadilan sewajarnya kepada Phaik Boi yang telah berusaha mendapat pembelaan sewajarnya sejak 17 tahun lalu.