Hujan tidak halang semangat peserta

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Seramai 636 peserta termasuk dari Kanada, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Filipina menjayakan acara Penang International 12 Hours Walk 2014 di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Acara yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Persatuan E-Youth, Persatuan Atlet Master Pulau Pinang serta Persatuan Atlet Amatur Pulau Pinang itu bermula jam 9 malam pada 3 Mei lalu dan berakhir pada 9 pagi keesokannya.

Seramai 277 peserta termasuk 20 peserta luar negara mengambil bahagian dalam acara berjalan kaki selama 12 jam merentasi Padang Kota Lama, Lebuh Light dan Jalan Tun Syed Sheh Barakbah dengan jumlah minima 50 kilometer bagi peserta lelaki dan wanita, 40 kilometer.

Selebihnya, iaitu seramai 359 peserta yang meminati senaman tarian zumba menyertai pelancaran 1st Malaysian 12 Hours Fitness Party yang diadakan serentak.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, acara anjuran kali ke-enam itu adalah melibatkan jarak perjalanan sejauh 1.78 kilometer dan terbahagi kepada 14 kategori.

“Acara ini bukan sahaja menguji tahap kecergasan, malah mencabar kekuatan fizikal dan mental peserta untuk mencapai jarak semaksima y ang mungkin dalam tempoh 12 jam.

“Acara ini juga diperkenalkan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kebaikan berjalan kaki sama ada sebagai aktiviti sukan mahupun aktiviti santai dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

“Tahniah kepada penganjur dan semua peserta yang hadir.

“Walaupun keadaan hujan, semangat untuk terus berjalan dan berzumba amat dikagumi, tahniah sekali lagi kepada semua,” katanya yang hadir merasmikan acara tersebut baru-baru ini.