Tingkatkan bilangan pemandu teksi wanita – Chong Eng

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JA YA – Kegagalan Fuah Boon See mendapatkan permit teksi wanita daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk syarikat milik peribadi Giltter Medallian Sdn. Bhd. akhirnya dirujuk kepada Kerajaan Negeri.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata, Putrajaya sepatutnya bertindak lebih proaktif memandangkan penumpang teksi wanita lebih selamat menaiki teksi dipandu golongan wanita juga.

Langkah proaktif itu, katanya, sekaligus akan meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja sebagaimana dihasratkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

“Daripada 59,174 pemandu teksi di negara ini, hanya dua peratus atau 1,298 adalah pemandu teksi wanita.

“Langkah proaktif perlu diambil sekiranya Kerajaan Pusat serius dalam hasratnya untuk membantu wanita,” ujarnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Pengurus Program bagi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Karen Lai Yu Lee turut hadir pada sidang media itu.

Difahamkan, program “Teksi Wanita” pernah dilancarkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2011, yang turut disertai SPAD.

Setakat tahun 2012, dilaporkan, hanya syarikat Destination Transport, Zalnas Sdn. Bhd., Koperasi Pengangkutan Putrajaya & Cyberjaya serta Sunlight Lembah Klang sahaja yang menyediakan pemandu teksi wanita, yang kesemuanya menumpu di sekitar Lembah Klang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Nancy Shukri dalam jawapannya di Dewan Rakyat mengulangi kedudukan Kerajaan Pusat bahawa program khusus untut pemandu teksi wanita tidak dapat diadakan sekarang.

Tuntas itu, Chong Eng dalam kenyataannya baru-baru ini mengesyorkan Putrajaya supaya bertindak proaktif demi meningkatkan bilangan pemandu teksi khususnya di Kerajaan Negeri.