CUEPACS puji keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penjawat awam di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam atau CUEPACS berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat membantu memantau pemilikan rumah mampu milik untuk penjawat awam di negeri ini.

Timbalan Presiden CUEPACS, Aminuddin Awang berkata, pihaknya telah beberapa kali mencadangkan agar pihak kerajaan di peringkat Persekutuan dapat memperuntukkan pemilikan rumah kepada penjawat awam.

“Jika kita lihat momentum pembangunan di Pulau Pinang, saya amat berharap agar Kerajaan Negeri dapat memberi perhatian kepada penjawat awam terutama dalam pemilikan rumah mampu milik di negeri ini.

AMINUDDIN Awang.

“Hal ini kerana, berdasarkan dapatan yang dijalankan (di peringkat kebangsaan) oleh CUEPACS mendapati bahawa 60 peratus penjawat awam tidak memiliki rumah, sebaliknya perlu menyewa ataupun tinggal di kuarters.

“(Dan) saya yakin atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dapatlah isu ini diberi perhatian dan ditangani di negeri ini,” ujarnya pada sesi kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri di Komtar hari ini.

Aminuddin hadir ke Pejabat Ketua Menteri bersama-sama Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd. Nordin dan Pengerusi CUEPACS Pulau Pinang, Mohd. Zaidi Said serta sembilan anggota delegasi lain yang terdiri daripada sekretariat Ibu Pejabat CUEPACS dan negeri.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, CUEPACS turut memohon agar Kerajaan Negeri memantau pembelian rumah oleh penjawat awam yang menerima deposit RM30,000 bagi pembelian rumah pertama.

KETUA Menteri menerima kunjungan hormat daripada CUEPACS di Komtar petang ini.

“Terdapat kes yang mana pihak pemaju mengambil kesempatan menaikkan harga rumah apabila mengetahui pembeli menerima skim pembiayaan RM30,000 daripada kerajaan.

“Walhal, pembiayaan itu untuk membantu penjawat awam memberi rumah pertama mereka,” kata Aminuddin sambil menyatakan kekaguman dengan usaha Kerajaan Negeri menyediakan rumah mampu milik di negeri ini.

Selain itu, delegasi CUEPACS juga meminta sokongan daripada kerajaan terutamanya bagi cadangan menaikkan gaji minimum kepada RM1,800 pada masa hadapan.

“Tuntutan CUEPACS ini adalah berdasarkan dapatan kajian oleh beberapa pihak termasuk Bank Negara Malaysia yang mana kos sara hidup kini melebihi RM2,400 dan gaji yang diterima tidak mencukupi.

“Pihak kami yakin, kerajaan (Kerajaan Persekutuan) sedar mengenai perkara ini namun kerana kekangan yang dihadapi maka pihak kami pun tidaklah terlalu mendesak,” jelas Aminuddin.

Pada kesempatan itu, CUEPACS turut memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sentiasa memberi keutamaan terhadap kebajikan penjawat awam di negeri ini.

“Kalau hendak dibandingkan dengan negeri-negeri tertentu, kami amat cemburu dengan pemberian bonus (oleh Kerajaan Negeri) minimum RM1,000 dan setengah bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini.

“Walau apapun, saya percaya Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap kebajikan penjawat awam di negeri ini dan terima kasih saya ucapkan,” zahir Aminuddin lagi.

Isu-isu seperti kos sara hidup, kekangan dana bagi menjalankan aktiviti berimpak tinggi dan permohonan mewujudkan pejabat CUEPACS di negeri ini turut disuarakan oleh delegasi yang hadir.

Terdahulu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengalu-alukan kehadiran pimpinan CUEPACS Kebangsaan dan Negeri ke pejabat beliau.

“Menyentuh mengenai isu pemilikan rumah oleh penjawat awam, perkara tersebut sebelum ini tidak pernah dibangkitkan, namun bagi pihak Kerajaan Negeri, saya percaya ada ruang untuk dipertimbangkan tertakluk kepada syarat-syarat berkaitan.

“Isu lain-lain, kebiasaannya pihak Kerajaan Negeri akan mengikuti apa jua inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan mengikut pekeliling (perkhidmatan awam).

“(Dan) pihak saya akan melihat sejauhmana Kerajaan Negeri mampu untuk membantu CUEPACS seperti yang disuarakan tadi untuk mewujudkan ‘partnership’ antara kita (Kerajaan Negeri dan CUEPACS),” respons Kon Yeow.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN