Cuthbert kongsi kisah urus bencana COVID-19, terharu APM Pulau Pinang diiktiraf

Admin

BULAN September 2019 melapor diri sebagai Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, tiga bulan berikutnya Cuthbert John Martin Quadra memberitahu bahawa beliau tidak menyangka akan diberi tugas serta tanggungjawab yang begitu berat dalam menguruskan bencana COVID-19 di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang melantiknya sebagai Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri.

Justeru, Buletin Mutiara berkesempatan menemubual beliau sempena hari terakhir berkhidmat di negeri ini pada 29 Januari, sebelum melaporkan diri secara rasmi sebagai Pengarah APM Melaka pada Isnin, 1 Februari 2021.

CUTHBERT John Martin Quadra

“Sepanjang saya berkhidmat di negeri Pulau Pinang ini, saya sangat beruntung kerana diberi ruang dan peluang berkhidmat serta saling bekerjasama dengan Yang Berhormat Dato’ Abdul Razak Jaafar.

“Saya begitu berterima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri kerana banyak memberikan tunjuk ajar, motivasi dan semangat bukan sahaja kepada saya, bahkan kepada semua ahli aktif dan ahli jemputan APM yang menyertai Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Tidak dilupakan, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang yang telah memberi pengiktirafan begitu tinggi kepada APM sebagai barisan hadapan semasa pelaksanaan (kali pertama) PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada 18 Mac 2020, dan (pelaksanaan semula) PKP 2.0 (bermula pada 13 Januari 2021),” jelasnya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di sini pada sebentar tadi.

Berusia 46 tahun, Cuthbert memberitahu bahawa beliau sudah berkhidmat 11 tahun di APM.

Sebelum berkhidmat di Pulau Pinang, beliau pernah bertugas di ibu pejabat APM yang berpangkalan di Kajang, Selangor.

Selain itu, beliau sebelum ini juga lernah melaporkan diri dalam agensi persekutuan yang sama di negeri kelahirannya iaitu Sabah.

TERHARU dengan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan APM Pulau Pinang, kata Cuthbert.

Semasa mengetuai APM Negeri Pulau Pinang, beliau memberitahu di bawahnya terdiri daripada kira-kira 400 ahli aktif, tidak termasuk ahli jemputan dan sukarelawan.

Berkongsi pengalaman menguruskan sumber APM Negeri semasa PKP 1.0., Cuthbert memberitahu bahawa beliau turut menimba pengalaman menguruskan orang awam yang masuk dari pintu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Hotel Bahang Bay dan Rainbow Paradise Beach Resort.

“Kita (APM) yang mengetuai pengurusan di kedua-dua pusat kuarantin tersebut, juga peringkat operasi bersama-sama Jawatankuasa Kesihatan Negeri di PIA.

“Di samping itu, APM juga diberi tanggungjawab mengetuai pengurusan operasi di pusat kuarantin berisiko rendah.

“Peranan yang kita (APM) lakukan dengan saling bekerjasama secara berpasukan yang sepadu dengan agensi-agensi lain sebagai barisan hadapan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas 24 jam (sehari).

“Pengoperasian pusat kuarantin yang APM ambil bahagian mengurus termasuklah di Kompleks Masyarakat Penyayang, Kompleks Sukan Balik Pulau dan Pusat Latihan Zakat (PULAZA),” jelasnya.

Menceritakan lagi pengalaman terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri semasa tempoh PKP 2.0, Cuthbert memberitahu bahawa kerjasama yang diberikan oleh semua Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah adalah sangat membantu APM negeri.

Hampir 45 minit sesi wawancara tadi, Cuthbert berharap APM selaku agensi persekutuan akan terus berada dalam kesiapsiagaan mengadapi sebarang bentuk risiko bencana, bukan sahaja pandemik COVID-19, bahkan banjir dan sebagainya.

“Untuk menguruskan bencana di negeri ini bagi tempoh 2.0, jawatankuasa bermesyuarat dua kali dalam seminggu berdasarkan keperluan semasa untuk memastikan tahap kesiapsiagaan menghadapi risiko bencana berada pada (kedudukan) tertinggi.

“Ini, demi memastikan kesinambungan (daripada aspek) keselamatan dan kesejahteraan khususnya komuniti di negeri Pulau Pinang ini terjamin dan dalam keadaan terkawal,” jelasnya lagi.

CUTHBERT, SELAMAT MELAPOR DIRI DI APM MELAKA!