Daftar segera untuk ujian saringan percuma Program PSC-19, saran Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Golongan peniaga, penjaja serta penyedia perkhidmatan penghantaran dan pengangkutan kepada orang awam disarankan supaya mendaftarkan diri untuk menjalani ujian saringan secara percuma di bawah Program Penang Saring COVID-19 (PSC-19).

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, Kerajaan Negeri sedia membantu dari semua sudut dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.

 

“Misalnya melalui program (PSC-19) ini, yang menawarkan saringan bersasar secara percuma kepada 40,000 individu berisiko dan berdaftar di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

 

“Kita (Kerajaan Negeri) ingin mengubah pemikiran umum yang bimbang apabila berurusan dengan peniaga mahupun penyedia perkhidmatan (penghantaran dan pengangkutan).

 

Kita mahu membantu bukan sahaja orang awam tetapi juga para peniaga dan penyedia perkhidmatan secara holistik tanpa menjejaskan ekonomi (sumber pendapatan) masing-masing.

 

“Oleh itu, saya ingin menyarankan kepada semua peniaga dan penjaja termasuklah pemandu teksi, pemandu bas dan e-hailing serta penyedia perkhidmatan dan  pengusaha keperluan harian untuk berdaftar dan menjalani ujian saringan melalui Program PSC-19 ini,” ujarnya pada sidang media yang diadakan sejurus mengadakan lawatan ke Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony bagi memantau perjalanan program berkaitan di sini pagi ini.

 

JAGDEEP Singh Deo (berdiri, dua dari kanan) bersama-sama Sr. Rozali Mohamud (berdiri, dua dari kiri) dan Dr. Amar Pritpal Abdullah (berdiri, kanan sekali) meninjau perjalanan Program Penang Saring COVID-19 di Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap; ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil; Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad serta wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Mengulas lanjut, Jagdeep memaklumkan bahawa Program PSC-19 hari ini melibatkan empat KADUN iaitu Perai; Seberang Jaya; Penanti dan Permatang Pasir. Manakala program serupa yang bakal diadakan esok, 11 Julai 2021 di Dewan Besar Sungai Dua membabitkan KADUN Sungai Dua dan Permatang Berangan.

 

“Bagi kedua-dua hari ini (iaitu hari ini dan esok), kita mensasarkan seramai 1,500 orang hadir menjalani ujian saringan dan setakat hari ini seramai 790 individu telah berdaftar.

 

“Pelaksanaan Program PSC-19 ini adalah bagi mengenal pasti, mengasingkan dan memutuskan rantaian perebakan virus COVID-19 terutama di kawasan hotspot dan kawasan yang mempunyai kes berulang dengan kerap,” katanya yang berharap orang ramai terutama yang berisiko supaya mengambil peluang menjalani ujian saringan secara percuma.

 

SALAH seorang individu sedang menjalani ujian saringan di bawah Program Penang Saring COVID-19.

 

 

Nada sama turut disuarakan oleh Rozali yang mengalu-alukan golongan peniaga dan penjaja untuk tampil dan menjalani ujian saringan secara percuma ini.

 

Hal ini kerana, mereka merupakan golongan yang paling rapat dengan masyarakat.

 

“Apabila peniaga telah menjalani ujian saringan maka pelanggan akan lebih yakin untuk berurus-niaga,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan,  mengenai status kes positif COVID-19 semasa di negeri ini, Jagdeep yang juga ADUN Datok Keramat memaklumkan bahawa pihaknya bersama-sama kedua-dua pihak berkuasa tempatan iaitu MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

 

“Setakat hari ini, sebanyak 2.08 juta pemeriksaan telah dilakukan oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan dengan kadar pematuhan pada tahap 99.5 peratus di bahagian Pulau dan   99.3 peratus Seberang Perai.

 

“Bagi kes baharu, semalam (9 Julai) Pulau Pinang mencatatkan 142 kes dengan kes aktif sebanyak 1,307 kes,” jelasnya.

 

Pendaftaran bagi Program Penang Saring COVID-19 (PSC-19) boleh dibuat melalui https://penangsaring.selangkah.my/ atau melalui Pusat Khidmat ADUN masing-masing. Terhad kepada 1,000  individu bagi setiap KADUN.

 

JAGDEEP Singh Deo (depan, dua dari kiri) menyampaikan beg makanan keperluan harian kepada wakil persatuan teksi yang turut serta dalam Progam Penang Saring COVID-19 pagi ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR