Dakwaan tanah Lebuh Raya Bukit Kukus tidak kukuh, Kerajaan Negeri tunggu reaksi jurutera – KM

Admin

TANJONG BUNGA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menunggu reaksi jurutera Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berhubung dakwaan menyatakan bahawa tanah di kawasan projek Lebuh Raya Bukit Kukus tidak kukuh untuk projek pembinaan di situ.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, beliau percaya dengan adanya teknologi, semestinya terdapat penyelesaian tentang masalah tersebut.

“Apabila merekabentuk apa-apa struktur, semestinya seorang jurutera akan mengambil kira banyak faktor.

“Dalam kes ini, termasuklah keadaan tanah, cerun, sistem perparitan dan lain-lain lagi yang boleh membantu seorang jurutera untuk merekabentuk struktur.

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri) akan menunggu respons daripada jurutera bertanggungjawab untuk memberikan reaksi terhadap dakwaan (tanah) tersebut,” ujarnya ketika diajukan soalan berhubung dakwaan berkaitan selepas merasmikan satu majlis dekat Penang Adventist Hospital di sini sebentar tadi.

Terdahulu, difahamkan Prof. Dr. Habibah Lateh dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengadakan lawatan ke tapak kejadian pagi ini, dan berdasarkan penerangannya menyatakan bahawa projek Lebuh Raya Bukit Kukus berisiko ekoran jenis tanah di kawasan berkenaan tidak kukuh untuk pembinaan.

Malah, Habibah juga menyatakan bahawa satu kajian terperinci perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Kerajaan Negeri mengambil keputusan meneruskan projek terbabit.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi sebagai respons menyatakan bahawa pihak MBPP akan melakukan apa yang boleh untuk memastikan projek tersebut dapat disambung di bawah satu keadaan yang ‘terbaik’.

“Pastinya, selepas perintah henti kerja ditarik balik, jurutera perlu melihat semula reka bentuk sedia ada sama ada terdapat apa-apa kesalahan mengenainya atau ratifikasi semula diperlukan.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak bimbang sekiranya projek ini ditangguhkan tiga hingga enam bulan lagi, asalkan ketika selesai pembinaan nanti, ia adalah ‘jaminan’ (selamat) digunakan,” tegasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING