DAP perlu terus bersatu padu hadapi cabaran politik semasa – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyeru ahli-ahli parti itu untuk terus bersatu-padu dalam menghadapi cabaran politik masa kini.

Jelas beliau, DAP perlu menilai segala kelemahan yang ada sebagai suatu proses untuk parti berkaitan bangkit semula sebagai sebuah parti politik yang kukuh serta berpegang kepada prinsip perjuangan dengan visi yang jelas sehingga membawa kepada kedudukan pada hari ini.

Chow Kon Yeow menerima borang keahlian baru daripada wakil kepimpinan DAP Tanjong pada majlis Sambutan Hari Wanita sebentar tadi.

“Mungkin ada pihak sehingga hari ini masih menyalahkan DAP atas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka beranggapan bahawa cara DAP membawa diri sebagai parti dalam kerajaan terlalu keras sehingga menyakitkan hati orang Melayu.

“Walaupun saya percaya ini bukanlah sebabnya mengapa kita (PH) jatuh atau hilang kuasa, tetapi tidak salah untuk kita meneliti cara kita beroperasi sehingga menyebabkan pengkhianatan ini berjaya.

“Justeru, dalam keadaan kemelut ini, kita menyeru ahli-ahli DAP supaya kekal bersama-sama parti, percaya dengan barisan kepimpinan untuk membawa kita menangani cabaran-cabaran ini.

“Kita harap ahli DAP Pulau Pinang dan seluruh negara masih mengikut disiplin serta arahan parti supaya kita kekal bersatu-padu untuk meneruskan perjuangan walaupun kita sudah hilang kuasa di peringkat Persekutuan,” ucapnya pada Majlis Sambutan Hari Wanita anjuran Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Parlimen Tanjong di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta barisan kepimpinan DAPSY Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow menegaskan bahawa barisan kepimpinan (PH) masih berusaha untuk mengembalikan pentadbiran Pakatan Harapan melalui usul undi tidak percaya terhadap kerajaan baharu di Parlimen dalam persidangan yang dijangka pada Mei ini.

“Saya percaya bahawa sekiranya kita gagal dalam usaha usul undi tidak percaya, ini bermakna usaha kita untuk mengembalikan kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya akan berakhir.

“(Dan) ini menyebabkan kita akan berdepan dengan rejim Muhyiddin (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) sehingga pilihan raya akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lai Heng dalam ucapannya menyeru agar lebih ramai golongan wanita daripada parti berkenaan untuk tampil ke depan sebagai pemimpin sama ada di peringkat cawangan mahupun negeri.

“Wanita diminta tampil untuk memegang tampuk pimpinan atau menjadi Ahli Majlis kerana kita percaya masih banyak lagi ruang untuk mereka menampilkan bakat kepimpinan masing-masing,” serunya.

Difahamkan, majlis yang dianjurkan secara santai tersebut bukan sahaja untuk meraikan golongan wanita, malah juga sebagai menghargai perjuangan ahli-ahli veteran DAP di peringkat akar umbi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING