Dapatkan slot vaksin influenza di DUN Air Itam dan Air Putih – ADUN

AIR ITAM –  Komuniti di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dan Air Itam dipelawa untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin influenza secara percuma.

 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata suntikan percuma itu diberi ekoran statistik semasa yang menunjukkan berlaku peningkatan dari segi jangkitan influenza dalam kalangan masyarakat.

 

 

Walau bagaimanapun katanya, suntikan vaksin yang akan diberikan adalah terhad kepada 800 orang sahaja.

 

 

“Saya dan ADUN Air Putih , saudara Lim Guan Eng mengambil inisiatif untuk menggerakkan program ini sebagai inisiatif untuk melindungi komuniti kita daripada jangkitan influenza.

 

 

“Dalam menjayakan program ini, kami bekerjasama denga Klinik O2 dan menyumbang RM48,000 sebagai inisiatif vaksin influenza ini.

 

 

“Pendaftaran akan dibuka mulai hari ini sehingga 30 Oktober depan,” ujar Soon Siang dalam sidang media dekat Pusat Khidmat ADUN Air Itam di sini pagi tadi.

 

Bagi yang berminat untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut, boleh mengimbas kod QR yang tertera dan mengisi maklumat serta mendapatkan temu janji di Klinik O2.

 

 

Soon Siang berkata, menerusi maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati sebanyak 158 kluster atau bersamaan 4,606 kes influenza dicatatkan dari Januari sehingga Julai 2023.

 

 

Justeru, beliau menyeru orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan semaksimum mungkin dalam mengelakkan perebakan virus berkaitan.