DI sebalik kebersihan tandas awam di Pasar Air Itam yang kini diiktiraf sebagai Tandas Terbersih Peringkat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), tersembunyi kisah seorang wira kuning. SUHAIMI AHMAD, Pembantu Awam yang menyelia kebersihan tandas di pasar awam tersebut menjadikan tugas hariannya sebagai amanah besar kepada masyarakat.
Berusia 40 tahun, Suhaimi yang berasal dari Kedah merupakan bapa kepada empat cahaya mata. Meskipun memiliki kad orang kurang upaya (OKU) penuturan, beliau tetap melaksanakan tugas dengan penuh tekun dan keikhlasan.
Menurut Suhaimi, pengiktirafan yang diraih baru-baru ini adalah hasil komitmen yang diberikan setiap hari tanpa jemu.
“Saya bertugas membersihkan tandas seawal jam 6.30 pagi.
“Saya buat kerja ini dengan ikhlas,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas kepada Buletin Mutiara.

Bagi memastikan keadaan tandas sentiasa berada pada tahap terbaik, Suhaimi mempunyai jadual kerja yang teratur iaitu tiga kali pembersihan menyeluruh dan empat kali pembersihan biasa setiap hari tanpa mengira jumlah pengguna.
“Orang ramai mahukan tandas yang bersih, jadi saya pastikan mereka selesa.
“Kadang-kadang belum sempat habis pusingan pembersihan, tandas sudah kotor semula, kerana orang ramai tidak putus-putus, tapi itu adalah tanggungjawab saya,” ujarnya yang telah berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP hampir tiga tahun.

Selain menjaga kebersihan ruang tandas, Suhaimi juga akan memastikan landskap, hiasan dan tanaman di sekitar tandas awam tersebut kekal terurus dan menenangkan.
Orang hanya lihat keadaan dalam tandas, tetapi kawasan luar juga penting.
“Apabila sekeliling kawasan ini cantik, orang ramai akan lebih hormat kemudahan ini,” jelasnya.
Dalam rutin harian, Suhaimi turut menyapu kawasan sekitar, mengutip sampah dan memastikan persekitaran awam sentiasa kemas.
Beliau juga melakukan pembaikan kecil sendiri supaya kemudahan dapat berfungsi tanpa gangguan, manakala kerosakan besar akan dilaporkan segera untuk tindakan lanjut.

Selain itu, seminggu sekali, beliau akan mengetuai pasukan pembersihan untuk membersihkan bahagian-bahagian yang sukar dicapai.
Dengan jumlah pengguna yang ramai dan keadaan tandas yang cepat menjadi kotor antara cabaran paling besar bagi Suhaimi setiap hari.
“Kadang-kadang tak sampai sejam selepas dibersihkan, sudah kotor semula.
“Bukan itu sahaja, kerosakan kecil pada kemudahan tandas juga sering berlaku, selain sikap segelintir pengguna yang suka membuang sampah sesuka hati dan melakukan vandalisme,” katanya.
Pun begitu, jelas Suhaimi, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya.

Bagi Suhaimi, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar lambang kejayaan, tetapi tanda kepercayaan masyarakat terhadap amanah yang dipikulnya.
Ini bukan hanya tentang anugerah, tapi tentang kepercayaan.
“Saya bangga menjaga tempat ini dan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya lagi.
Beliau berharap pengiktirafan ini dapat menjadi peringatan kepada orang ramai supaya lebih menghargai dan menjaga kemudahan awam yang disediakan.
“Bersama kita menjaga dan menggunakan tandas awam dengan berhemah,” serunya.
Pada 21 November lalu, sempena Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Pasar Raya Mydin Bukit Mertajam, Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, kebanyakan tandas awam di negeri ini berada pada tahap baik dengan purata penarafan tiga bintang dan ke atas.
Beliau berkata, pencapaian tersebut adalah hasil usaha berterusan semua pihak dalam menjaga kebersihan dan keselesaan tandas awam.
“Oleh itu, sempena sambutan ini, sama-sama kita memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan tandas sekali gus memperkukuh imej Pulau Pinang sebagai negeri bersih, indah dan berdaya huni selaras dengan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti,” katanya.
Dalam majlis sama, Mooi Lye juga merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan di negeri ini atas usaha gigih dalam melaksanakan pemantauan berkala, menaik taraf kemudahan serta memastikan kebersihan tandas awam sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sebelum ini, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran ketika meninjau keadaan tandas awam yang diselia sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan, berkata bahawa tandas awam merupakan salah satu kemudahan asas yang menjadi tarikan pengunjung melawat ke sesuatu lokasi sama ada tempat pelancongan, pusat makanan, kemudahan awam dan sebagainya.
“Justeru, penyenggaraan secara berjadual dilaksanakan dengan mengambil kira faktor BMW iaitu Bersih, Menawan dan Wangi agar keselesaan para pengguna berada pada tahap tinggi,” katanya sebagai memetik berita di laman Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang – MBPP.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: LAW SUUN TING