Darul Hanan model progresif MAINPP depani cabaran negeri menua

Admin
4042af19 e04b 4edc b21b 18ade68867a0 MOHAMAD Abdul Hamid berucap dalam Majlis Ziarah Kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah di sini pada 26 Januari 2026.

BERTAM – Ketersediaan Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan di sini sejak tahun 2008 melambangkan langkah progresif Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam menyediakan fasiliti berwajib selari dengan keperluan asnaf serta status negeri menua.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid memberitahu bahawa MAINPP telah memulakan projek pembinaan pusat jagaan tersebut pada tahun 2005 dengan kos sebanyak RM13 juta yang dibiayai oleh Yayasan Albukhary.

“Alhamdulillah, projek ini siap sepenuhnya pada tahun 2008 dan mula beroperasi pada 1 Februari 2010 dengan penghuni awal seramai 32 orang.

“Sehingga kini, MAINPP melalui Zakat MAINPP memperuntukkan sekitar RM3 juta setahun bagi memastikan kebajikan, keperluan harian dan kesejahteraan warga emas Islam khususnya golongan asnaf yang tiada waris sentiasa terpelihara,” jelasnya.

 

7556832b ac5a 4d2f b494 14285e9fb6d3
TUN Ramli Ngah Talib (berdiri, tengah) dan isteri turut meluangkan. masa dengan menyantuni seorang penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ziarah Kasih Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, YM Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah di sini pada 26 Januari 2026.

Mufti Kerajaan Negeri, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Pengerusi Yayasan Amal TYT Pulau Pinang, Dato’ Dr. Roslan Ahmad; serta Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohammad Kairi Ghazalli turut menyertai acara menyantuni penghuni pusat jagaan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP merangkap Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata, peruntukan tahunan kepada Darul Hanan bagi tahun 2026 ditingkatkan seiring dengan keperluan semasa dan pertambahan penghuni yang kini berjumlah 114 orang.

“Darul Hanan sentiasa komited memberikan perkhidmatan penjagaan yang terbaik dan menyasarkan untuk menjadi pusat jagaan warga emas Islam contoh pada peringkat nasional,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Perdana Menteri kerana mengumumkan peruntukan RM35 juta melalui Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bagi merintis Projek Rumah Warga Emas Mandiri di Pulau Pinang, sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Beliau menyifatkan pengumuman itu sebagai suatu pengiktirafan terhadap kesiapsiagaan Kerajaan Negeri yang berteraskan model sedia ada seperti Darul Hanan.

Dalam sidang media selepas itu, Mohamad memberitahu bahawa cadangan pembinaan projek Rumah Warga Emas Mandiri dirintis di Pulau Pinang serta dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sebuah Kompleks Darul Hanan berskala besar yang merangkumi perumahan warga emas, pusat jagaan, serta kompleks perniagaan bagi menyokong kelestarian komuniti setempat.

Menurutnya, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan RM300 juta yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan MAINPP.

“Pulau Pinang dipilih sebagai negeri perintis dengan projek pembangunan Rumah Warga Emas Mandiri di atas tanah seluas 10 ekar melibatkan peruntukan RM35 juta.

“Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai dan projek ini dijangka bermula tahun ini serta siap dalam tempoh tiga tahun.

“Kita menyasarkan sebanyak 290 unit rumah warga emas mandiri dapat dibangunkan menjelang tahun 2030 dan terbuka kepada golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bahawa MAINPP turut meluluskan pengambilan tambahan tanah seluas tiga ekar yang akan dibangunkan sebagai pusat sehenti (One Stop Centre) merangkumi pusat perniagaan, rumah kedai dan stesen minyak.

Pengambilan tanah tersebut, menurutnya lagi, akan dilaksanakan melalui Pejabat Tanah dan Kerajaan Negeri serta pihaknya menyasarkan proses berwajib selesai dalam tempoh enam bulan pada tahun ini.

“Pembangunan di atas tanah tiga ekar ini dijangka bermula pada 2027,” katanya.

Difahamkan, keseluruhan pembangunan berkenaan akan membentuk Kompleks Darul Hanan 1 dan Darul Hanan 2 dengan kerjasama KWAP serta sebuah pusat perniagaan menjelang tahun 2030, adalah selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI