Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, MBPP giat jalankan sesi taklimat umum

PANTAI JEREJAK – Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang mula dilaksanakan sejak tahun lalu diperluaskan melalui penyebaran maklumat secara berperingkat kepada penduduk dan komuniti melalui pelbagai sesi taklimat serta tunjuk ajar.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mubarak Junus berkata, tanggungjawab menjaga kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tempatan (PBT), sebaliknya perlu dipraktikkan oleh semua peringkat masyarakat termasuk amalan mengasingkan sampah.

“Amalan pengasingan sampah di rumah bukan sahaja memanfaatkan keluarga dan komuniti, malah juga mampu mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke Tapak Pelupusan Pulau Burong.

“Hanya dengan mengubah cara hidup, luangkan masa seminit sahaja melakukan pengasingan sampah, sebenarnya masyarakat sedang membantu Pulau Pinang dalam usaha menjadikan negeri ini lebih bersih, lebih hijau dan lebih sihat,” ujarnya pada Majlis Taklimat Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di Kondominium Villa Emas di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan pelancaran, Setiausaha Bandaraya, Ar. Yew Tung Seang.

Turut serta, Pengerusi Pengurusan Bersama (JMB), May Lim dan penduduk setempat.