Datang segera elak pembaziran besar RM358 juta – KM

GEORGE TOWN – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha didesak supaya datang segera ke Pulau Pinang bagi ‘menyelamatkan’ tiga projek di bawah kementeriannya bernilai RM358 juta agar ia tidak menjadi pembaziran besar dan penyelewengan amanah awam.

Tiga projek berkaitan adalah projek RM250 juta menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), projek Tanjung City Marina (RM43 juta) dan projek bermasalah Swettenham Pier (RM65 juta).

Dalam pada itu, Cho Ha turut didesak sama ada dapat memberikan tarikh siap baru LTAPP dan apakah penalti yang bakal dikenakan terhadap kontraktor terbabit ekoran kegagalan menyiapkan projek naiktaraf dalam tempoh masa sepatutnya walaupun ia telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sehingga 31 Disember ini setelah tarikh lanjutan kedua pada 24 November lalu tamat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengulas lanjut berhubung desakan tersebut menegaskan bahawa Cho Ha perlu menunaikan tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan dan melawat sendiri projek-projek berkenaan di sini.

“Kong (Cho Ha) harus datang dan memeriksa sendiri dan tidak membenarkan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menjadikan Malaysia sebagai bahan lawak antarabangsa dengan pengumuman bahawa LTAPP sudah ‘banyak yang siap’ apabila jelas banyak lagi yang belum siap.

“Sekiranya projek yang tidak siap boleh dikatakan sebagai ‘banyak yang siap’ selepas perbelanjaan RM250 juta, maka ini adalah satu kes membabitkan bukan sahaja salah urus kewangan, tetapi penyelewengan amanah awam,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri amat terkejut dengan dakwaan MAHB bahawa kerja-kerja ubahsuai dan naiktaraf di LTAPP di Bayan Lepas sudah ‘banyak yang siap’.

Katanya, mana-mana  menumpang yang menggunakan prasarana LTAPP pasti tahu bahawa kenyataan tersebut adalah palsu.

“Bagaimanakah MAHB boleh mengenepikan kepentingan awam dengan kenyataan bahawa projek naik taraf tersebut sudah ‘banyak yang siap’ apabila bumbung belum habis dipasang, air masih lagi bocor apabila hujan, tandas-tandas berada dalam keadaan kotor dan seluruh tempat itu kelihatan seperti tapak pembinaan dengan bunyi dan habuk.

“Hanya orang yang mempunyai mata yang rabun, telinga yang pekak dan otak yang tidak boleh berfikir sahaja akan bersetuju dengan penipuan MAHB bahawa projek RM250 juta tersebut itu sudah ‘banyak yang siap’.

“Daripada melindungi kontraktor-kontraktor dan pegawai pemantauan, MAHB harus bersikap jujur dan memberi sebab-sebab kenapa kerja naik taraf tersebut tidak mematuhi masa, ” tegas beliau.

Mengulas lanjut mengenai projek Tanjung City Marina yang terbengkalai, Guan Eng menyatakan bahawa walaupun disiapkan pada tahun 2007 dengan kos RM43 juta, ia kini berada dalam keadaan reput dengan tanjakan separuh tenggelam dan barisan-barisan pontun konkrit yang terapung serta membahayakan kapal-kapal persiaran dan feri serta membawa risiko keselamatan akibat lampu-lampu yang rosak.

“Pihak pengurusan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) menepiskan tanggungjawab bagi kegagalan projek marina yang mempunyai kapasiti menampung 140 buah kapal layar serta bot dengan 102 kawasan berlabuh berkenaan dengan kenyataan akhbar baru-baru ini menyatakan bahawa prasarana pelabuhan yang direka dan dibina Penang Port Commission (PPC) telah rosak akibat kecacatan reka bentuk.

“Untuk mengatasi kecacatan reka bentuk, PPSB menyatakan bahawa RM10 juta diperlukan untuk kerja pembaikan. PPSB menambah bahawa Pengerusi PPC terdahulu, Tan Cheng Liang telah berjanji untuk menyediakan RM10 juta untuk kerja pembaikan, tetapi sampai sekarang janji tidak ditepati.

“Jelas, Pengerusi PPC kini iaitu Datuk Seri Chua Soi Lek telah gagal dalam tanggungjawabnya bukan sahaja untuk menaikkan taraf, malah juga menyelenggara prasarana PPC,’’ ujarnya.

Bagi Swettenhem Pier bernilai RM65 juta pula, Guan Eng memberitahu bahawa aduan telah diterima daripada kapal-kapal persiaran yang penting kepada sektor pelancongan negeri bahawa perkhidmatan dan kemudahan disediakan adalah tidak memuaskan.

“Ketiga-tiga projek ini adalah di bawah naungan Kementerian Pengangkutan dan berjumlah RM358 juta.

“RM358 juta ini akan menjadi pembaziran besar dan penyelewengan amanah awam sekiranya Kong (Cho Ha) tidak mengambil langkah segera untuk mengelakkan kegagalan dalam pengurusan projek serta menyelamatkan projek-projek yang parah ini.

“Daripada membazirkan masa dengan nombor pendaftaran kereta dan pemasangan 831 kamera 1Malaysia di bawah Sistem Pengkuatkuasaan Automatik atau AES, Kong (Cho Ha) harus datang segera ke Pulau Pinang dan menyelamatkan keadaan,’’ tegas beliau lagi.

KEBOCORAN pada siling LTAPP pada Oktober lalu.
KEBOCORAN pada siling LTAPP pada Oktober lalu.
KEJADIAN banjir kilat yang berlaku di LTAPP pada Mac lalu.
KEJADIAN banjir kilat yang
berlaku di LTAPP pada Mac
lalu.