Datuk Bandar bakal bentang ‘kad laporan’ pencapaian MBSP, Januari 2020

Admin

BUKIT TENGAH – ‘Kad laporan’ pencapaian semasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam memburu pengiktirafan Seberang Perai sebagai Bandar Raya Pintar dan Rendah Karbon akan dibentangkan pada bulan Januari tahun hadapan.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penjanaan Sistem Tenaga Solar Anugerah Sekolah Hijau di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh (SKKS).

Menurut beliau, SKKS dipilih untuk pelaksanaan projek perintis penjanaan sistem tenaga diperbaharui (RE) kerana sekolah tersebut telah memenangi Anugerah Sekolah Hijau 2018 Peringkat Bahagian Seberang Perai.

“MBSP senantiasa komited dalam menjadikan Seberang Perai sebagai Bandar Raya Rendah Karbon pada tahun 2022 dan Bandar Raya Bebas Karbon pada 2030.

“Pada Januari 2020, saya akan buka ‘kad laporan’ yang menunjukkan pencapaian (MBSP ke arah menjadikan Seberang Perai sebagai) Bandar Rendah Karbon,” ujarnya kepada pemberita di Dewan Terbuka SKKS pada 13 November 2019.

Turut serta, Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Syed Jaafar Syed Abdul Aziz dan Guru Besar SKKS, Safuan Shuib.

Rozali pada 16 September 2019 lepas melancarkan sebahagian kandungan dokumen Hala Tuju Strategik Ke Arah Bandar Raya Seberang Perai Yang Mampan dan Lestari, sempena pemasyhuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menjadi ‘bandar raya’.

Berdasarkam dokumen tersebut, Rozali antara lain mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pelaksanaan Perjanjian Perbekalan Tenaga Diperbaharui (SARE), ke arah mengurangkan karbon melalui penggunaan tenaga solar.

Selain Menara Bandaraya MBSP, Rozali memberitahu ada senarai 31 bangunan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan telahpun diserahkan kepada TNB untuk proses penilaian, sama ada boleh dipasang pelan tenaga solar atau sebaliknya.

Tidak cukup dengan itu, Rozali berkata pemaju yang mereka bina bangunan atau unit kediaman dengan elemen 15 peratus RE, akan menikmati kelulusan segera (fast track) daripada MBSP.

“(Fast track) ini lebih daripada insentif wang…dengan penjimatan masa dalam proses mendapatkan kelulusan membina bangunan, sebenarnya lebih banyak kos boleh dijimatkan oleh mereka (berbanding) kalau MBSP beri insentif dalam bentuk wang.

“Di peringkat sekolah, kita pakai ‘net energy metering’ (NEM)…mereka akan pakai sendiri (RE), kalau lebihan (tenaga) barulah dijual kepada TNB,” jelasnya.

Difahamkan, kos pemasangan sistem penjanaan tenaga solar di SKKS menelan belanja kira-kira RM21,000 melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dua buah syarikat swasta iaitu Jinko Solar dan Pekat Solar.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS