Datuk Bandar lancar Soal Selidik Bajet 2022 MBSP secara dalam talian, sehingga 25 Mac

SEBERANG JAYA – Seiringian dengan pemupukan Normal Baharu, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) petang tadi melancarkan Soal Selidik Bajet 2022 mulai 26 Februari hingga 25 Mac, secara dalam talian menerusi portal www.mbsp.gov.my.

Menerusi sesi live Facebook, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa pelaksanaan acara tahunan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas awam bagi merangka keutamaan dalam perbelanjaan dana awam pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Pada petang ini, kita (MBSP) lancarkan Soal Selidik Bajet 2022 yang dahulunya mempunyai 11 soalan, dipendekkan menjadi lima soalan sahaja untuk memudahkan tuan puan memberikan maklum balas,” ujarnya dalam sidang media bersama-sama Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmud dan dua Ahli Majlis MBSP lain.

Di samping itu, Rozali memberitahu bahawa soal selidih pada kali ini turut boleh diakses menerusi sembilan saluran lain iaitu telegram (t.me/mbsppg), facebook Majlis Bandaraya Seberang Perai, twitter (@mbsp_pg), facebook Buletin Mutiara, facebook Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, aplikasi pintar Penang Smart Parking (PSP), facebook dan instagram PSP serta facebook dan instagram GRPBPenang.

“Ia juga akan dipanjangkan dalam group whatsapp.

“Bagi 9,000 responden pertama yang mengisi Soal Selidik bajet 2022 menerusi Penang Smart Parking Apps, token harian sebanyak RM3 akan diberi,” jelasnya lagi.

Difahamkan, Soal Selidik Bajet 2022 dirangka menggunakan metodologi Bajet Responsif dan Partisipatori (GRPB).

Dalam soal selidik kali ini, enam keutamaan memerlukan maklum balas orang awam untuk membuat pilihan, iaitu seperti berikut;

1. Pembangunan Ekonomi Kitaran (Circular Economy) kebersihan dan kehijauan

2. Ruagan hijau dan penyelenggaraan tempat awam

3. Pengangkutan dan koridor hijau

4. Penggunaan tenaga yang mampan

5. Memastikan kemampuan pemilikan rumah bagi meningkatkan kualiti hidup, dan

6. Ketahanan perubahan iklim

“Saya berharap seluruh warga Seberang Perai dapat menggunakan hak memberi pendapat masing-masing sebagai pembayar cukai untuk MBSP merangkap perbelanjaan mengikut keutamaan yang dikongsi oleh para responden Soal Selidik Bajet 2022 ini,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB