Dekad Membaca Kebangsaan, Ketua Menteri harap purata rakyat baca 31 buku setahun dicapai pada 2030

Admin

BATU MAUNG – Sejajar dengan Visi Penang2030, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang dilancarkan pada peringkat negeri Pulau Pinang mampu menyumbang kepada pencapaian 31 buah buku setahun purata bagi tahap membaca rakyat Malaysia bagi tahun 2030.

Ketika berucap, beliau memberitahu bahawa kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia bagi tahun 2014 mendedahkan purata bacaan rakyat bagi tahun 2014 adalah 15 buah buku setahun berbanding pada tahun 2010 (lapan hingga 10 buku setahun).

“Kajian pada tahun 2014 juga menunjukkan 95 peratus rakyat Malaysia membaca.

“Walaupun ada peningkatan dalam amalan membaca, kita perlu meningkatkan lagi usaha-usaha untuk meningkatkan lagi kadar pembacaan setanding dengan piawaian negara-negara maju.

“Sekurang-kurangnya untuk mencapai 31 buah buku setahun iaitu piawaian yang dirujuk selaras dengan jumlah rakyat Malaysia,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini pada 24 November 2019.

Turut berucap, Ahli Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPPAPP), Aida Yusof Rawa, mewakili Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi & Inovasi).

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; ADUN Teluk Air Tawar, Mustapha Kamal Ahmad dan Puan Tan Lean Kee (isteri kepada Y.A.B. Ketua Menteri) turut sertai acara tersebut.

Tambah Kon Yeow, budaya membaca melambangkan mundur atau maju rakyat sesebuah negara.

“Di negara-negara maju seperti Korea Selatan, kadar membaca rakyatnya ialah 20 buah buku setahun.

“Sementara itu, di Amerika Syarikat yang mana kadar membacanya diukur berdasarkan jam, rakyatnya membaca secara purata selama 30 minit seminggu pada hari bekerja dan kadarnya meningkat pada hari minggu iaitu selama 37 minit,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow turut memuji langkah proaktif PPAPP dalam menyediakan program Literasi Media dan Maklumat demi membantu rakyat negeri ini agar lebih celik informasi.

“(PPAPP) giat melaksanakan pelbagai usaha menggalakkan budaya membaca berkonsepkan ‘edutainment’ dan pada masa kini turut menggalakkan budaya pembacaan melalui media elektronik serta tidak lagi terhad kepada media cetak seperti buku, majalah dan surat khabar sahaja.

“Sehingga kini, PPAPP menawarkan 14 pengkalan data elektronik dengan jumlah judul melebihi lima juta.

“Kepelbagaian sumber maklumat yang tersedia di dalamnya dalam bentuk cetak atau digital boleh diakses secara global melalui internet dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Pulau Pinang,” ulasnya.

Serentak dengan majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan, PBAPP turut menyampaikan hadiah penghargaan kepada mereka yang paling banyak membeli buku serta mengunjungi perpustakaan-perpustakaan awam di negeri ini.

MUHAMMAD Fazrul Ariff Saad dan keluarga.

Salah seorang penerima hadiah penghargaan, Muhammad Fazrul Ariff Saad, 29, yang ditemui kemudian menyatakan bahawa pelbagai bahagian mesra keluarga dan kanak-kanak yang dibuka di Perpustakaan Awam Negeri dekat Seberang Jaya sangat memupuk minat membaca dalam kalangan anggota keluarganya.

Menurut Muhammad Fazrul Ariff, hampir setiap hujung minggu, beliau membawa isteri, Aimi Shahirah Mohamad Pisol, 29, serta dua anaknya, Dia Adni (4 tahun) dan Dia Alisya (6 bulan) untuk mengikuti aktiviti memupuk minat membaca yang dikendali oleh pustakawan di Perpustakaan Awam Negeri.

“Selama ini, perpustakaan yang kita bayangkan hanya ada buku sahaja, tapi di Perpustakaan Awam Negeri pada hari ini, pelbagai bentuk bahan bacaan serta aktiviti ada, sangat sesuai untuk semua gender terutama anak-anak.

“Bagi saya, inisiatif Dekad Membaca Kebangsaan yang dilaksanakan oleh Menteri Pendidikan (Dr. Maszlee Malik) dan petang ini dilancarkan kempen ini pada peringkat negeri pula, adalah suatu yang sangat baik, memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat,” jelasnya yang bekerja dalam bidang profesional di Kulim, Kedah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN