Demi dedah skandal PERDA, KM pelawa ADUN Sg. Acheh lawat tanah kontroversi sekali lagi

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria dipelawa secara terbuka untuk melawat sekali lagi sebidang tanah yang dijual oleh agensi persekutuan, Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dekat Tok Keramat, Nibong Tebal.

Semasa membuat pelawaan itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengakui tujuannya adalah demi membongkar satu skandal penjualan tanah kontroversi di sana.

Guan Eng turut menyanggah soalan ADUN Pembangkang berkenaan yang menggambarkan lawatan masuk ke tanah persendirian tersebut sebelum ini dilakukan tanpa kebenaran.

“Ketua Menteri tidak memasuki tanah tersebut tetapi berada di pinggir tanah tersebut.

“Persoalan ini tidak timbul kerana tujuan lawatan ialah membongkar isu skandal tanah yang melibatkan kepentingan awam.

“Macam mana tanah PERDA yang diambil untuk tujuan perumahan awam, boleh dijual murah sehingga kerugian RM15.2 juta.

“Kenapa (Mahmud) tak tanya soalan kepentingan awam rakyat… kalau nak lawat, boleh pergi bersama sekali lagi,” responsnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam mendedahkan tanah seluas 8.6 ekar tersebut menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sepatutnya bernilai RM16.6 juta.

Pada tahun 2015, PERDA yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya didedah menjual tanah tersebut secara tender tertutup kepada satu pihak swasta, dengan harga serendah RM1.4 juta.

Guan Eng memberitahu, pembeli baharu tanah tersebut pada 28 Mac lalu memohon kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai  (MPSP) untuk membina 27 buah rumah kedai sahaja.

“Tidak ada satu pun rumah awam, baik rumah kos rendah atau sederhana rendah dibina (oleh pembeli baru) di atas tanah tersebut.

“Kerugian RM15.2 juta ini bukan sahaja membelakangkan tujuan PERDA ditubuhkan, tetapi pihak pengerusi telah mengkhianati tugasnya sebagai pemegang amanah PERDA menjalankan projek perumahan ke atas tanah ini,” ujarnya yang juga ADUN Air Putih.