Fi 5. 54% kepada Zenith-BUCG termurah, respons Hock Seng

GEORGE TOWN – Pembayaran RM305 juta atau 5.54 peratus daripada keseluruhan RM5.5 bilion kos pembinaan Projek Tiga Jalan-jalan Utama dan Terowong Di Bawah Dasar Laut yang dibuat oleh Kerajaan Negeri kepada Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (Zenith-BUCG) sebenarnya adalah tawaran terendah, berbanding yang dikemukakan lapan pihak lain.

Mengulas lanjut, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata, pembayaran itu adalah berpatutan sekiranya dibandingkan dengan fi-fi yang ditetapkan oleh Lembaga Jurutera Malaysia, Pertubuhan Arkitek Malaysia, Lembaga Juruukur Malaysia, Perbendaharaan Malaysia serta pertubuhan-pertubuhan profesional lain dalam negeri dan peringkat antarabangsa, sebelum ini.

Jelasnya, fi-fi yang ditetapkan badan-badan tersebut meliputi pelbagai skop seperti pengurusan, kejuruteraan, lalulintas, alam sekitar, sosial, hidrologi, geoteknikal serta kepakaran khusus dalam bidang terowong, kerja kejuruteraan di bawah dasar laut dan pantai.

“Pembayaran dalam bentuk pemberian tanah akan dibuat secara berperingkat berdasarkan kos yang dikemukakan semasa tawaran Permohonan Kertas Cadangan atau RFP oleh Zenith-BUCG.

“Pihak (Zenith-BUCG) telah mengemukakan tawaran terendah daripada lapan tawaran yang diterima untuk pelaksanaan keseluruhan projek termasuk kajian-kajian.

“Sekiranya bayaran yang dibuat berasaskan fi profesional atau man hour atau reimbursable cost atau perbelanjaan, maka kos yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri.

“Dengan menetapkan kos kajian, pihak Zenith-BUCG tidak boleh menuntut sebarang kos tambahan dan tidak akan berlaku ketidaktentuan kos bayaran atas kajian,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal pada persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Ke-13 di sini.

Penjelasan Hock Seng itu sebagai menjawab pertanyaan ADUN PKR dari kawasan Penanti, Dr. Norlela Ariffin serta pertikaian daripada beberapa ADUN Pembangkang Pulau Pinang yang lain.

Selain kos kajian-kajian, Hock Seng memberitahu, pembayaran fi menjadikan kos imbuhan balik (reimbursable) juga akan dibiayai sepenuhnya oleh Zenith-BUCG.

Difahamkan, kos keseluruhan projek yang akan dimajukan Zenith-BUCG adalah RM6.341 bilion.

Mengikut pecahan, Kajian Kebolehlaksanaan, Rekabentuk Terperinci dan Kajian Impak Alam Sekitar menelan kos RM305 juta, diikuti RM504 juta (pembiayaan kos pengambilan balik tanah) serta RM5.5 bilion (kos pembinaan).

5.54 peratus daripada RM5.5 bilion kos pembinaan yang dibayar kepada Zenith-BUCG berjumlah RM305 juta.

Dalam perkembangan lain, Hock Seng turut membuat contoh perbandingan fi yang dibayar oleh Kerajaan Negeri kepada Zenith-BUCG dengan pembayaran Kerajaan Persekutuan dalam projek-projek lain.

Dalam projek MRT Line-1 di bawah Kerajaan Pusat, Hock Seng mendedahkan, Syarikat MMC-Gamuda selaku rakan penyampai projek (PDP) menerima bayaran sebanyak 6 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan.

Pun begitu, tambahnya, fi 6 peratus tersebut tidak termasuk kos-kos profesional yang terlibat dalam projek tersebut serta kos-kos imbuhan balik yang dituntut oleh perunding-perunding profesional.

Syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. yang memajukan Projek Pan Borneo Highways pula menerima fi adalah antara 5 hingga 6 peratus daripada jumlah keseluruhan kos projek.

“Fi ini tidak termasuk kos-kos bayaran balik yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan apabila dituntut oleh syarikat kelak.

“Begitu juga dengan Syarikat MRCM-George Kent bagi Projek LRT Line 3, dengan kadar fi sebanyak 6 peratus daripada kos keseluruhan (projek di bawah Kerajaan Persekutuan itu),” jelas Hock Seng.

Penjelasan Hock Seng itu sekaligus menjawab pertikaian beberapa ADUN Pakatan Harapan daripada PKR sendiri, iaitu Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk) dan Dr. T. Jayabalan (Batu Uban) serta satusatunya ADUN DAP bagi Kawasan Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.