P. Pinang gesa Pusat segera nasihat henti pembalakan di Ulu Muda

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggesa Kerajaan Persekutuan menasihatkan Kerajaan Negeri Kedah supaya menghentikan sertamerta aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, dekat sempadan Utara Kedah – Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, pembalakan di kawasan tadahan itu akan menjejaskan kualiti dan kuantiti air di Kedah serta ke Pulau Pinang.

“RM30.1 juta yang Kedah terima hasil premium pembalakan hutan bagi tahun 2014 hanya 0.02 peratus daripada RM135.3 juta bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disumbangkan oleh Kedah dan Pulau Pinang.

“(Pembalakan) ini akan mengancam hidupan serta lebih dua juta penduduk di Utara Kedah dan Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Menurut Jaseni, paras air di kedua-dua empangan, Empangan Beris dan Empangan Muda ketika ini kira-kira 30 peratus, manakala di Empangan Mengkuang, lebih 50 peratus.

Sungguhpun musim Super El Nino diramal berakhir pada bulan Jun ini, beliau memberitahu, paras air di semua empangan dekat negeri Kedah dan Pulau Pinang mestilah ditambahkan lebih 60 peratus untuk menghadapi krisis kemarau akan datang yang dijangka pada awal tahun depan.

“Kira-kira 80 peratus air mentah ke Pulau Pinang bergantung pada sumber mentah dari Sungai Muda dalam sempadan negeri ini, dan sudah tentu bergantung pada kawasan tadahan di Ulu Muda,” ujar Jaseni.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada sidang media berasingan menegaskan bahawa kekurangan air mentah pada masa hadapan akan menjejaskan beribu-ribu aktiviti perniagaan di Kedah hatta Pulau Pinang.

“Pada tahun 2014, Pulau Pinang menyumbang 6.5 peratus, manakala Kedah menyumbang 3.4 peratus kepada KDNK yang berjumlah AS$338 bilion atau RM1,365.4 bilion.

“Ini bermakna, gabungan sumbangan KDNK kedua-dua negeri adalah 9.9 peratus, kirakira AS$33.5 bilion atau RM135.3 bilion bagi tahun 2014.

“Semua perniagaan bergantung kepada bekalan air yang berterusan baik dan jika terdapat krisis bekalan air, kerugian akan dikira dalam berbilion-bilion ringgit.

“Selain itu, Pulau Pinang, Kedah dan reputasi Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi pembuatan, perkhidmatan, pelancongan dan harta pembangunan akan rosak teruk untuk tahun akan datang,” jelasnya.

Sehingga kini, 80 peratus air mentah Pulau Pinang yang berjumlah lebih 1 bilion liter tiap-tiap termasuk diekstrak dari Sungai Muda dalam sempadan negeri ini.

Itu, tidak termasuk ekstrak air mentah dari Sungai Muda ke 14 loji rawatan air dikendali agensi berwajib di bawah Kerajaan Negeri Kedah.

Keseluruhan abstrak air mentah dari Sungai Muda untuk keperluan penduduk negeri Kedah dan Pulau Pinang berjumlah kira-kira 1.56 bilion tiap-tiap hari.

“Tanpa air mentah ini, akan menjadi besar-besaran krisis bekalan air di Pulau Pinang dan selatan Kedah,” tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.