Demi rakyat, Kerajaan Negeri ambil langkah proaktif pulih dua projek perumahan ‘sakit’

c51090f6 0589 41a3 8fff 7d7d40c9fbf7 KETUA Menteri (lima dari kiri) dengan diiringi S. Sundarajoo (enam dari kiri) meluangkan masa menyantuni para pembeli unit kediaman yang terjejas apabila projek Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton terbengkalai, dalam majlis berkaitan di Komtar pada 30 Januari 2026.

GEORGE TOWN – Dua projek Rumah MutiaraKu (RMKu) iaitu Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton yang diklasifikasikan sebagai projek sakit lebih tujuh tahun akan segera dipulihkan serta dijangka siap paling lewat pada hujung tahun ini.

ba28355b bd65 47d1 a15f 58ecd35ae45b
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah proaktif sedemikian diambil kerana Kerajaan Negeri hari ini sentiasa memandang serius isu projek sakit di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu (projek) yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus atau telah tamat tempoh Perjanjian Jual Beli (SPA).

“Kerajaan Negeri memahami sepenuhnya beban yang ditanggung oleh para pembeli, termasuk bayaran faedah pinjaman perumahan serta kos sewaan kediaman sementara, di samping ketidakpastian tarikh penyiapan projek-projek berkaitan.

“Susulan itu, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menyediakan pakej pembiayaan khas dan melantik pemaju berkeupayaan tinggi bagi memastikan baki kerja dapat disiapkan dengan segera.

“Setelah penilaian dibuat, Mah Sing Group Berhad telah dilantik sebagai rakan pembiaya (financier), manakala BakerTilly Insolvency PLT dilantik sebagai pelikuidasi (liquidator) oleh mahkamah bagi mengurus serta memastikan kedua-dua projek tersebut siap secara teratur,” jelasnya semasa berucap dalam majlis berkaitan di Komtar pada 30 Januari 2026.

432cd87e 6c98 40b2 aff7 a0e0da6b3bcd
GAMBAR kenang-kenangan seusai Majlis Menandatangani Perjanjian Antara Mah Sing Group dan BakerTilly Malaysia Berkenaan Usaha Memulihkan Dua Projek Rumah MutiaraKu (RMKu) Terbengkalai iaitu Pangsapuri Sei Bayu dan Pangsapuri Quinton sebentar tadi.

Selepas itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi bersama-sama Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ S. Sundarajoo menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif Mah Sing Group, Dato’ Voon Tin Yow dan rakan kongsi pengurusan Kumpulan BakerTilly Malaysia, Andrew Heng berkenaan usaha memulihkan dua projek RMKu tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Azrul Mahathir Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas; Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Khairulnizam Hashim dan Pengarah Perancang Pembangunan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), TPr. Gs. Mohd. Bashir Sulaiman turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut.

Dalam sidang media selepas itu, Sundarajoo memberitahu bahawa masalah kekangan kewangan yang dihadapi pemaju terdahulu merupakan antara faktor projek pembinaan Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton yang melibatkan 625 unit kediaman tidak dapat disiapkan.

Menurut beliau, kerja-kerja pemulihan kedua-dua projek tersebut kelak bukan mudah kerana melibatkan banyak kerosakan dalaman akibat kecurian, vandalisme serta ketiadaan kerja-kerja pembinaan susulan.

“Tahap kemajuan salah satu projek ‘sakit’ yang akan dipulihkan ini adalah 60 peratus, manakala satu lagi projek telah siap 80 peratus, tetapi itu nampak dari luar bangunan sahaja.

“Bagi projek yang lama terbengkalai, bukan mudah untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan sampai siap kerana banyak barangan dalam bangunan itu termasuk kabel telah dicuri sebelum ini,” ujarnya yang juga ADUN Perai.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : MUHAMAD IQBAL HAMDAN