Denggi, tingkatkan langkah pencegahan – Exco Kesihatan

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Bilangan kes denggi di Pulau Pinang sejak Januari hingga 27 September lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 987 kes atau 161.5 peratus menjadikan jumlah keseluruhan 1,598 kes berbanding tempoh sama tahun lepas yang direkodkan hanya 611 kes.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dalam kenyataannya memberitahu, lima kematian akibat denggi turut direkodkan pada tahun ini, berbanding dua kematian pada tahun lepas.

Justeru, beliau mengingatkan seluruh warga Pulau Pinang agar meningkatkan langkah-langkah pencegahan, termasuk menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman masing-masing.

“Pada ketika ini, terdapat 12 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di Pulau Pinang iaitu lokaliti Mutiara Idaman, Apartment Sri Wonder, Taman Harmoni, Taman Gottlieb dan Jalan Cantonment di George Town membabitkan Daerah Timur Laut.

“Flat Bukit Gedong dan Persiaran Mahsuri (Daerah Barat Daya), Bagan Lebai Tahir, Taman Aman Ceri dan Kampung Perlis (Daerah Seberang Perai Utara, SPU), Taman Desa Damai (Daerah Seberang Perai Tengah, SPT) dan Kampung Sungai Udang (Daerah Seberang Perai Selatan, SPS),’’ katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Afif memberitahu, dua lokaliti wabak tak terkawal dilaporkan adalah membabitkan Apartment Kota Emas, George Town di Daerah Timur Laut dan Flat Teluk Bahang (Daerah Barat Daya).

“Satu lokaliti hotspot pula dilaporkan di Greenlane Heights, George Town membabitkan Daerah Timur Laut,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.