Tipu jual beli emas, KM hargai tindakan segera polis

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN WEI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak pantas menyiasat seorang pemimpin belia sebuah parti politik negeri yang dipercayai menipu sekumpulan individu dalam urus niaga penjualan jongkong emas bernilai lebih RM4.9 juta di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa Ketua Polis Negeri (CPO), Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi bahawa pihak polis sedang menjalankan siasatan dan telahpun memanggil suspek berkenaan dalam membantu siasatan.

“CPO dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pihak polis mengambil serius tentang perkara ini dan siasatan telah 70 peratus lengkap serta akan memastikan tindakan sewajarnya diambil ke atas suspek.

“Ini merupakan perkembangan baik dijalankan pihak polis untuk membantu mangsa-mangsa yang telah ditipu oleh suspek tersebut,” ujarnya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, mangsa-mangsa terdiri daripada 17 individu yang menggelar diri sebagai Kumpulan Wahab tersebut hanya mengharapkan siasatan dapat dilakukan segera dan keadilan akan berpihak kepada mereka.

“Semestinya mereka (mangsa) mengharapkan agar keadilan dapat ditegakkan walaupun kes tersebut rumit kerana melibatkan sejumlah wang yang besar.

“Saya juga ingin berterima kasih sekali lagi kepada CPO dan berharap sekiranya ada lagi mangsa-mangsa lain yang terlibat, tampil membuat laporan atau berjumpa dengan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri),” kata beliau.

Sebelum itu, sekumpulan 17 individu hadir ke Pejabat Ketua Menteri di Komtar untuk bertemu dan menyuarakan permasalahan mereka.

Salah seorang mangsa, Abdul Wahab S. Mohd. Mydin, 45, yang juga jurucakap Kumpulan Wahab berkata, beliau bersama ahli-ahli kumpulan lain telah ditawarkan harga di atas harga pasaran untuk membeli jongkong emas yang diperoleh melalui salah sebuah syarikat emas dengan perjanjian secara lisan dan bayaran akan dibuat secara ansuran.

Walau bagaimanapun, jelasnya, setelah transaksi sebanyak 16,635 gram dengan nilai RM4,946,960 selesai, bayaran yang diterima hanya RM710,349 sahaja, manakala bayaran melalui cek tendang berjumlah RM1,570,161 dan cek belum tunai, RM2,665,108.