Tempoh reman PPS dilanjut sebulan

Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: MARK JAMES

GEORGE TOWN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melanjutkan tempoh reman untuk 157 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan pada 31 Ogos lalu untuk tempoh sebulan lagi sehingga 29 Oktober ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Antara ahli yang dilanjutkan tempoh reman berkenaan adalah Pengerusi PPS, Phee Boon Poh yang juga Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer dan Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik.

Menurut Rayer yang juga selaku peguam kes berkaitan, lanjutan jaminan yang berkuatkuasa selama sebulan sehingga 29 Oktober ini adalah atas alasan masih menunggu siasatan daripada pihak polis selesai.

“Tempoh jaminan juga boleh dilanjutkan sehingga  tiga bulan,” jelasnya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini baru-baru ini.

Turut hadir memberi sokongan moral, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai.

Pada 31 Ogos lepas, polis telah menahan 157 anggota PPS termasuk pengerusi pasukan itu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat  Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas PPS didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Tegas Guan Eng, pendirian Kerajaan Negeri tetap tidak berubah dengan mempertahankan ahli-ahli PPS.

“Kita berdiri di belakang mereka (ahli-ahli PPS). Mereka (ahli-ahli PPS) tidak buat salah kenapa harus ditahan?

“Jika hanya sertai perbarisan hari kebangsaan adalah satu kesalahan, adakah kita perlu batalkan sambutan tersebut?” soal beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng turut bertegas dengan menyatakan bahawa PPS bukanlah sebuah pertubuhan haram memandangkan penubuhannya adalah di bawah kuasa Kerajaan Negeri.

“PPS tidak pernah ada masalah dengan polis, bahkan mendapat sokongan dalam peranan menjaga komuniti.

“Kalau kerana seorang dua yang melakukan kesalahan, adakah kita perlu bubar PPS? Pihak berkuasa juga ada yang terlibat jenayah, yang mana salah kita tetap akui mereka bersalah jika terbukti,” ujarnya.