Design Village, destinasi pelancongan membeli-belah pilihan seranta

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT TAMBUNDesign Village – Outlet Mall (Design Village) dekat Bandar Cassia, Batu Kawan yang secara rasminya dibuka pada 23 November lalu diharap akan terus menjadi pemangkin buat Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan membeli-belah pilihan di rantau ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan pasar raya besar tersebut di sini.

Design Village mungkin akan menjadi salah satu destinasi membeli-belah pilihan utama di bahagian wilayah utara Semenanjung Malaysia, dengan kawasan ini mempunyai tadahan besar lebih 5 juta penduduk dari Pulau Pinang dan negeri jiran iaitu Perak, Kedah dan Perlis.

“Malam ini adalah bersejarah kerana di Bandar Baharu Batu Kawan ini tersergam indah bangunan pusat membeli-belah terkemuka, dengan harapan Design Village akan menjadi pemangkin serta batu loncatan untuk Pulau Pinang terus dikenali sebagai destinasi pelancongan membeli-belah pilihan terbaik untuk semua rakyat Malaysia serta pelancong asing
ke negeri ini,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya serta wakil pemaju pasar raya tersebut, Pengerusi PE Land, Datuk Jason Tai dan Pengarah Urusannya, James Ling.

Menurut Guan Eng, Design Village mempunyai prospek yang produktif kerana Bandar Baharu Batu Kawan tersebut juga akan menjadi destinasi pemacu pelaburan besar seperti EcoCity, Paramount, IKEA dan Aspen.

“Saya juga gembira kerana dengan pembukaan Design Village akan menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan untuk pelbagai bakat dan akan menarik lebih ramai profesional dari industri berkaitan,” jelasnya yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, kompleks membeli-belah mega dengan luas lantai kira-kira 400,000 kaki persegi bakal menjadi ruang dagangan komersial pelbagai jenama antarabangsa.

Kedudukannya yang begitu strategik, 30 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dekat Bayan Lepas dan kira-kira 40 minit
dari bandar raya Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Upacara tembakan bunga api ke udara sebagai gimik perasmian pembukaan kompleks pasar raya mega Design Village berkaitan disaksikan lebih 1,000 individu daripada kalangan pemimpin Kerajaan Negeri, para tetamu kenamaan serta penduduk setempat Bandar Baharu Batu Kawan.