Kalendar Acara Perdagangan 2017 terus promosi P. Pinang

TANJUNG BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Pulau Pinang akan menjadi hab pameran perdagangan antarabangsa pilihan utama serantau, dengan adanya projek pembangunan bercampur Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (SPICE) seluas 2.8 hektar bernilai kira-kira RM300 juta di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Tahun Kelapan Kalendar Acara Perdagangan 2017 di sini baru-baru ini. “Dengan adanya SPICE, diharap Pulau Pinang bukan sahaja menjadi hab acara dan pameran perdagangan di wilayah utara (Semenanjung Malaysia), bahkan negeri ini menjadi tempat berkembangnya aktiviti ekonomi serta sektor perdagangan untuk Malaysia kelak,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah,
Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Bukan, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri mula mempromosi Kalendar Tahunan Acara Perdagangan sejak Julai 2009.

Menurutnya, Kalendar Acara Perdagangan 2010 diisi dengan 40 acara perdagangan, diikuti 2011 (49), 2012 (52), 2013 (58), 2014 (69), 2015 (112) dan 2016 (176).

“Bagi tahun 2017, sehingga Majlis Pelancaran Kalendar Acara Perdagangan ini, telah diisi 112 acara dan akan berlaku lagi pertambahan acara perdagangan sebelum masuknya tahun 2017 nanti,” jelas Guan Eng.