Destinasi pelancongan sekitar Teluk Bahang, Batu Feringghi diaudit untuk akreditasi keselamatan

Admin

TELUK BAHANG – Beberapa destinasi tumpuan pelancong dan hotel di sekitar kawasan Teluk Bahang dan Batu Feringghi hari ini diaudit bagi mendapatkan akreditasi keselamatan dalam usaha meningkatkan kadar kepatuhan terhadap standard kebersihan dan pengoperasian selamat.

 

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M. Bawani berkata, antara aspek yang diambil kira membabitkan kebersihan diri, sanitasi, keselamatan makanan dan lain-lain aspek pematuhan keselamatan.

 

“Proses audit ini dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan MBPP dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Penang Global Tourism (PGT).

 

“Perkara paling asas adalah penjarakan sosial 1.5 meter, saringan suhu badan dan pendaftaran atau rekod pengunjung.

 

“Selain itu, saringan juga perlu dilakukan ke atas pekerja-pekerja dan pihak ketiga seperti vendor atau kontraktor.

 

“(Dan) melalui audit ini, pihak kami akan memberi beberapa maklum balas serta penambahbaikan sekiranya perlu bagi memastikan semua piawaian dipatuhi,” ujarnya ketika ditemui sejurus selesai menjalankan audit akreditasi keselamatan di sini pagi ini.

 

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Perlesenan MBPP, N. Yogeinthiran dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran JKNPP, Zairi Mahrini.

 

Semalam, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang (PETACH), Yeoh Soon Hin telah mengumumkan inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkenalkan satu sistem akreditasi bagi menilai kesiapsiagaan serta persiapan penggiat-penggiat industri pelancongan Pulau Pinang terhadap langkah-langkah pencegahan COVID-19.

 

Melalui kenyataan di Facebook beliau, objektif utama program akreditasi ini adalah untuk memberi penekanan terhadap kepentingan keselamatan dan kebersihan seiring dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memulihkan semula sektor ekonomi pelancongan di negeri ini.

 

“Akreditasi ini akan diberikan kepada penggiat-penggiat industri pelancongan yang telah memenuhi dan mematuhi garis panduan dan tatacara operasi standard (SOP) kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, JKNPP, pejabat PETACH dan PGT.

 

“Pemohon yang berjaya memenuhi SOP akreditasi ini akan diberi logo rasmi untuk dipamerkan di premis mereka serta untuk kegunaan promosi dan pemasaran,” jelas Soon Hin yang berharap peralihan industri pelancongan dalam normal baharu ini dapat memulihkan semula ekonomi pelancongan negeri.

 

Difahamkan, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di negara ini yang memperkenalkan inisiatif ini melibatkan para pemain dan penggiat industri pelancongan, perhotelan dan pusat membeli-belah di negeri ini.

 

 

Semua dokumen berkaitan akreditasi berkaitan termasuk borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang berikut https://penanglawancovid19.com/accreditation.

 

Bagi penggiat industri pelancongan yang berminat untuk mendapatkan akreditasi ini boleh menghantar permohonan tersebut melalui e-mel ke [email protected].

 

Maklumat lanjut, sila hubungi pejabat PGT di talian 04-264 3456 atau melalui emel seperti tertera di atas.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI