Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sedia bersidang esok di Dewan Sri Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kini bersedia untuk persidangan esok.

Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang menyatakan bahawa persidangan kali ini akan diadakan di Dewan Sri Pinang rentetan Bangunan DUN di Lebuh Light ditutup selama setahun bagi memberi laluan kerja-kerja pemuliharaan.

Menurut Choo Kiang, pembukaan persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Yang Keempat Belas akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

LAW Choo Kiang (tengah) bersama-sama pegawai berkaitan meninjau persiapan terakhir di Dewan Sri Pinang.

“Esok, TYT Tun akan hadir bagi menyempurnakan pembukaan persidangan DUN di sini, dan sesi persidangan akan dimulakan pada 29 April sehingga 6 Mei 2019.

“Persidangan di luar Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah yang pertama kali, ini kali ketiga.

“Sebelum ini persidangan DUN pernah diadakan di sini (Dewan Sri Pinang) pada tahun 2005 dan sebelum itu di Universiti Sains Malaysia (1995-1996) bagi memberi laluan untuk kerja-kerja baik pulih Bangunan DUN ,” ujarnya pada sidang media di Dewan Sri Pinang dekat sini pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha DUN, M. Maheswari serta beberapa pegawai koordinasi persidangan.

Mengulas lanjut, Choo Kiang berharap persidangan kali ini berjalan lancar.

“Kita telah bersiap-sedia untuk perasmian esok dan berharap segalanya lancar,” katanya yang turut membawa pengamal media melihat susun atur dewan persidangan di sini.

Bangunan DUN di Lebuh Light tutup sehingga Disember 2019, dan difahamkan persidangan seterusnya pada bulan November nanti turut dijangka diadakan di sini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD