Dialog Mufti & Biskop, wujud jambatan harmoni dua pihak

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN –Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menyatakan bahawa pertimbangan dari segi kepentingan awam adalah dibenarkan apabila tidak menemui dalil yang sahih lagi soreh (jelas) dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

“Kalau sesuatu perkara itu membawa maksud kepentingan awam, maka agama kita (Islam) ‘merestui’ untuk merujuk kepada kepentingan awam, tetapi tidak boleh memudaratkan dan menyusahkan,” katanya di pejabat beliau, Pejabat Mufti Pulau Pinang di sini, 29 Februari lalu.

Beliau berkata demikian selepas saling berdialog kira-kira dua jam dengan Biskop Katolik Pulau Pinang, Sebastian Francis serta para pemimpin kedua-dua agama baru-baru ini.

Beliau turut mengulas mengenai Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang memutuskan bahawa Mahkamah Sivil adalah forum yang sesuai untuk memutuskan mengenai pembubaran perkahwinan serta hak penjagaan kanak-kanak apabila seorang daripada pasangan memeluk agama Islam dan seorang lagi kekal bukan Islam.

“Terserah kepada kehakiman, mungkin artikel tertentu itu perlu dibuktikan (ditafsirkan),” respons beliau kepada pemberita.

Dalam perkembangan lain, Wan Salim menegaskan Islam memerangi aktiviti melampau dan keganasan sebagaimana dilakukan oleh ISIS, serta beliau berharap semua rakyat tanpa mengira agama berlumba-lumba melaksanakan pembaikan nilai dalam negara.

“Apabila kita mengkaji sumber utama agama-agama selain Islam pun, saya dapati tidak ada agama yang menyeru kepada ekstremisme…semua agama menyuruh manusia saling berbuat baik,” jelasnya.

Sebelum itu, Wan Salim melahirkan rasa terharu kerana buat julung kalinya dialog antara beliau dan Biskop Katolik Pulau Pinang diadakan di pejabatnya.

“Setakat yang saya tahu, ini adalah kali pertama kita bertemu dan membincangkan isu-isu seperti Islam dan Kristian.

“Ia adalah sangat bermanfaat kerana kedua-dua pihak berjaya membersihkan beberapa kekeliruan dan salah faham.

“Kita mesti mempunyai hubungan yang baik dengan menjelaskan kepada rakyat mengenai perbezaan di antara kita (Islam dan Kristian).

“Dalam mana-mana agama sekalipun, ia adalah semulajadi untuk berbeza, sebagaimana semua manusia jua mempunyai perbezaan antara satu sama lain,” ujarnya sambil melahirkan rasa gembira.

Dalam pada itu, Francis melahirkan rasa bersyukur kerana usaha mewujudkan jambatan keharmonian di antara kedua-dua agama subur di Pulau Pinang.

“Saya amat terharu dan kagum dengan Datuk Mufti dan komitmen pasukannya,” katanya.

} else {