Penempatan semula penduduk Fasa 2 RTB Sg. Pinang selesai, KN tuntut janji Pusat

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri baru-baru ini sekali lagi menuntut janji Pusat berhubung peruntukan bagi pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang Fasa 3 di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Fasa 3 RTB Sungai Pinang tidak dapat dilaksanakan kerana Pusat tidak meluluskan permohonan Kerajaan Negeri walaupun telah banyak permohonan dibuat termasuk meyakinkan pihak berkaitan bahawa projek tersebut merupakan projek prioriti yang perlu dilaksanakan.

“Sebelum ini, Kerajaan Pusat telah bersetuju bahawa kerja-kerja penempatan semula dan pembersihan kawasan di jajaran Sungai Pinang adalah menjadi tanggungjawab kita (Kerajaan Negeri).

“Apabila selesai Fasa 2 (penempatan semula dan pembersihan kawasan), maka Kerajaan Pusat akan menyalurkan dana untuk Fasa 3, namun, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) baru-baru ini, RTB Sungai Pinang tidak tersenarai, hanya dua projek sambungan sahaja tersenarai iaitu di Batu Feringghi (Timur Laut) berjumlah RM10.5 juta dan Tasek Gelugor (Seberang Perai Utara, SPU) berjumlah RM8.5 juta,” katanya ketika hadir meninjau kerja-kerja pembersihan peringkat akhir di jajaran Sungai Pinang berdekatan Jalan P. Ramlee di sini baru-baru ini.

Turut sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo serta Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Grace Teoh Koon Gee.

Pegawai Daerah, Daerah Timur Laut, Jusni Ismail dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang, Ir. Sabri Abdul Mulok juga turut serta.

Menurut Kon Yeow, sejumlah 161 premis dan struktur yang berada dalam jajaran Sungai Pinang siap dibersihkan secara berperingkat sejak akhir tahun 2013 dengan kos pembersihan mencecah RM298,030.18.

“Apabila kerja-kerja pembersihan kawasan oleh MBPP dan penempatan semula penduduk terjejas siap, bermakna Fasa 2 projek RTB Sungai Pinang telahpun selesai.

“Juga pembayaran ex-gratia kepada penduduk yang hampir selesai kerana masih ada satu dua penduduk yang menunggu rumah alternatif mereka siap hujung bulan ini,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, projek RTB Sungai Pinang melibatkan empat fasa yang mana Fasa 1 sudahpun dilaksanakan sekitar tahun 1998 dengan melibatkan kos berjumlah RM6,453,693.90.

“Fasa 1 ini termasuklah kerja-kerja melebar dan mendalamkan sungai, pengukuhan dan pengindahan tebing sungai serta proses pengambilan tanah melibatkan 40 penduduk ketika itu.

“Kemudian, Fasa 2 pula melibatkan komponen kerja-kerja penempatan semula termasuk bayaran pampasan melibatkan tiga peringkat iaitu Peringkat 1 melibatkan 133 premis dan struktur, Peringkat 2 (12) dan Peringkat 3 (16).

“Fasa 3 pula merupakan fasa permohonan bagi kerja-kerja fizikal utama tebatan banjir dan pemuliharaan sungai, manakala, Fasa 4 meliputi kerjakerja penyelenggaraan komponen serta pewartaan tanah tepi sungai sahaja,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Jagdeep menyatakan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri telah mencapai persetujuan berhubung projek berkaitan.

“Justeru, saya amat berharap Kerajaan Pusat dapat menunaikan janji mereka kerana Pulau Pinang telah tunaikan tanggungjawab seperti yang diminta,” katanya.

Turut mengulas adalah Sabri yang menyatakan bahawa pihaknya akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Pusat supaya kerja-kerja Fasa 3 RTB Sungai Pinang dapat dilaksanakan segera.

Difahamkan, Fasa 3 RTB Sungai Pinang melibatkan dua komponen utama iaitu kerja-kerja peningkatan kualiti air sungai dan kerja-kerja tebatan banjir dengan kos keseluruhan mencecah RM654 juta.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);