‘Diamond Junction’ siap lebih awal, PDC berjaya jimat RM7 juta

Admin
ZAIRIL Khir Johari mewakili Ketua Menteri berucap dalam Majlis Perasmian Penyiapan Projek Persimpangan Bertingkat (Diamond Junction) dekat Bandar Cassia di sini pada 21 September 2022.

BUKIT TAMBUN – Projek Persimpangan Bertingkat (Diamond Junction) yang dibina oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bukan sahaja berjaya disiapkan kira-kira sebulan lebih awal berbanding jadual pemajuan iaitu pada 10 Jun lepas, malah berjaya menjimatkan sebanyak RM7 juta daripada anggaran asal kos pembinaan.

Mewakili Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari petang tadi berkata pihaknya berharap tarikh penyerahan projek tersebut kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijangka akan dilaksanakan pada bulan Disember tahun ini dapat berjalan lancar, seperti dirancang.

ZAIRIL Khir Johari (depan, tengah) diberi taklimat mengenai projek penambahbaikan aliran trafik di sekitar Lebuhraya Bandar Cassia di sini tadi.

“Kejayaaan projek ini adalah disebabkan PDC melibatkan semua pemegang taruh di samping melantik kontraktor yang berwibawa…bukan sahaja siap cepat, malah jimat kos juga.

“Jalan (‘Diamond Junction) ini akan mula dibuka untuk kegunaan orang ramai mulai esok.

“Kerajaan Negeri yakin dengan adanya persimpangan bertingkat ini, pertumbuhan ekonomi dan sosial dapat berkembang dengan lebih pesat bukan sahaja bagi kawasan Bandar Cassia, bahkan di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga dalam Majlis Perasmian Penyiapan Projek Persimpangan Bertingkat (Diamond Junction) dekat Bandar Cassia di sini pada 21 Ogos 2022.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairil berkata pihaknya turut berharap Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengambil pendekatan yang holistik bagi memastikan pembangunan di daerah SPS dapat terus berkembang dengan lebih pesat untuk dinikmati oleh penduduk setempat.

“Selaras dengan Visi Penang2030 (dengan tema) ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’, projek ini menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pertumbuhan dan kemajuan negeri ini dari segi pembangunan infrastruktur yang seimbang di bahagian pulau dan tanah besar (Seberang Perai),” ujarnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada semua pemegang taruh dalam projek infrastruktur awam ini.

Persimpangan Bertingkat atau ‘Diamond Junction’ di sini.

Buletin Mutiara difahamkan, dengan siapnya projek ‘Diamond Junction’ ini, akan menambah baik sistem aliran trafik di Lebuhraya Bandar Cassia dari persimpangan lampu trafik ke persimpangan bertingkat lampu isyarat dua lorong dua hala.

Di samping itu, projek ini juga akan memberi manfaat kepada penduduk setempat iaitu melalui jarak perjalanan lebih singkat dan lancar ke Central Business District (CBD) dan Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP).

AZIZ Bakar (enam dari kiri), Azhar Arshad (lima dari kiri), Zairil Khir Johari (tujuh dari kiri) dan Goh Choon Aik (lapan dari kiri) antara yang hadir pada majlis berkaitan di sini tadi.

Sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar memberitahu bahawa panjang keseluruhan projek tersebut adalah 1,080 meter (m) yang merangkumi 592m pelebaran jalan Lebuhraya Bandar Casssia dari jalan berkembar dua lorong kepada tiga lorong.

Dalam projek sama juga, menurutnya lagi, turut merangkumi pemajuan 488m bagi persimpangan bertingkat (flyover) lampu isyarat dengan dua lorong dua hala dari kawasan utara Bandar Cassia menghala ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan BKIP.

“Struktur jambatan ini juga mempunyai sembilan ‘span’ dengan menggunakan ‘pre-cast u-beam’ yang disokong oleh 10 struktur tiang konkrit bertetulang (pier) dan ‘crosshead’.

“Saya juga ingin menekankan bahawa projek ini telah mengambil kira aspek ‘value engineering’, pematuhan jadual kerja dan pengurusan projek yang berkenaan dan seterusnya ia telah memberi impak yang ketara termasuk penjimatan kos akhir pembinaan ia iaitu sebanyak RM7 juta daripada anggaran asal kos pembinaan,” jelasnya lagi.

ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik yang juga ‘ADUN Angkat’ Sungai Acheh dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad merupakan antara pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai gimik acara parasmian penyiapan projek ‘Diamond Junction’ tersebut tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD