Diharapkan Jabatan Imigresen Negeri dapat bekerjasama secara dua hala dengan Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin di pejabatnya di sini.

 

Difahamkan, Shah Inor telah memulakan tugas sebagai Pengarah JIM Negeri Pulau Pinang sejak 29 September 2020 menggantikan Muhamad Husni Mahmud yang kini bertukar ke Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang sebagai Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektoral).

 

SHAH Inor Shahbudin.

 

Terdahulu, dalam pertemuan selama 30 minit itu, Shah Inor yang diiringi oleh Timbalan Pengarah Imigresen Negeri, P. Arvind membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan serta keselamatan tahanan semasa pandemik COVID-19 di Depot Tahanan Imigresen Juru.

 

Turut dibangkitkan adalah mengenai kawalan keluar dan masuk di sempadan negeri yang sentiasa dipantau rapi serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam urusan seharian JIM Negeri Pulau Pinang.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow menegaskan bahawa pematuhan terhadap SOP yang ditetapkan banyak membantu dalam usaha melandaikan keluk jangkitan COVID-19.

 

Malah, dengan mengadaptasi penggunaan platform mesyuarat dalam talian juga merupakan antara amalan yang harus dipraktikkan oleh semua jabatan dan agensi kerajaan masa kini.

 

Di akhir perbincangan, Kon Yeow menzahirkan pengharapan agar JIM Negeri Pulau Pinang dapat bekerjasama secara dua hala dengan Kerajaan Negeri serta berkongsi perspektif berhubung isu migrasi di negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KON KUAN