Dikesan ada najis dan kencing tikus, tiga premis diarah tutup 

 

GEORGE TOWN – Sebuah restoran nasi kandar dekat Jalan Kapitan Keling diarahkan tutup oleh Bahagian Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ekoran isu kebersihan di premis berkenaan.

Turut diarahkan tutup dua kedai runcit dekat Lebuh Pasar (Little India), di sini.

Notis penutupan tersebut dikeluarkan mengikut Undang-undang Kecil 38 (1) Establisymen Makanan MPPP 1991 setelah pegawai dari Bahagian Kesihatan Persekitaran MBPP mendapati kehadiran lipas selain najis dan kencing tikus di premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan di empat premis makanan malam ini, kita telah arahkan penutupan dua kedai runcit dan satu kedai makananan.

“Sebuah lagi kedai makanan kita keluarkan kompaun kerana gagal mengelakkan pencemaran makanan atau cross contamination.

“Arahan penutupan dikeluarkan selepas kita mengenal pasti adanya najis dan kencing tikus serta hurungan lipas… dan semasa menjalankan pemeriksaan di satu premis ini (pasar mini) memang kita nampak kehadiran tikus,” ujar Pegawai Kesihatan Persekitaran MBPP M. Bawani dalam operasi establisymen makanan sekitar George Town, kelmarin.

Operasi tersebut dikendalikan oleh 15 anggota termasuk tiga dari Bahagian Penguatkuasan MBPP.

 

Jelasnya lagi, premis-premis yang diarahkan tutup telah diberikan notis selama 14 hari bermula 8 hingga 21 Januari 2020.

“Dalam tempoh tiga hari sekiranya pemilik premis telah menjalankan langkah-langkah penambahbaikan, mereka boleh hubungi pegawai dan kita akan pergi menjalankan pemeriksaan semula.

“Sekiranya berpuas hati barulah kita akan proses kepada pembukaan semula premis berkenaan,” jelasnya lagi.

Bawani dalam pada itu menasihatkan pemilik-pemilik premis makanan agar terus menjaga kebersihan dan mengikut segala garis panduan penyediaan makan, mendapatkan suntikan dan sebagainya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD