DPC bakal rekrut dan latih 120 usahawan muda dalam pemasaran digital – Exco

SEBERANG JAYA – Pandemik COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak pertengahan bulan Mac lepas rupa-rupanya mempercepatkan lagi para usahawan kecil dan sederhana menyesuaikan diri dalam normal baharu melalui perniagaan secara dalam talian.

Sambil menganggap pandemik COVID-19 sebagai ‘peluang’, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata agensi negeri, Perbadanan Digital Pulau Pinang (DPC) bakal merekrut 120 anak muda dalam tempoh enam bulan, bagi melatih seramai mungkin usahawan kecil dan sederhana di negeri ini berkaitan ilmu pemasaran digital.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata demikian ketika merasmikan Program Memperkasakan Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah 2020.

ABDUL Halim Hussain (depan, dua dari kiri) dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri yang lain merakamkan gambar kenangan dengan para peserta Program Memperkasakan Usahawan, Penjaja Kecil dan Koperasi Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah 2020 di SP Arena, Seberang Jaya pada tengah hari tadi.

“Tahun lepas (2019), kita (Kerajaan Negeri) dah latih 1,060 usahawan kecil dan sederhana dengan pendedahan pada ilmu pemasaran digital.

“Kerajaan Negeri (Pakatan Harapan Pulau Pinang) dah tubuh Digital Penang Corporation (DPC) yang akan menggerakkan 120 orang anak muda untuk turun ke bawah untuk bertemu peniaga-peniaga sama ada usahawan kecil ataupun usahawan sederhana, bagaimana untuk memasarkan produk ataupun perkhidmatan perniagaan mereka secara dalam talian.

“Justeru, saya berharap selepas ini, dalam normal baharu semua penduduk Pulau Pinang perlu belajar untuk mengamalkan 4P iaitu Penjarakan Fizikal, Pakai Pelitup Mukut, Pencucian Tangan Dengan Sabun dan Perhatikan Gejala COVID-19.

“(Dan) bagi para peniaga kecil dan sederhana pula, dapatlah belajar menyesuaikan diri dengan cara perniagaan yang baharu iaitu pemasaran digital,” jelasnya di dewan serbaguna SP Arena dekat sini pada 16 Ogos 2020.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Fahmi Zainol mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Seramai 252 individu menyertai program tersebut, masing-masing diberikan khemah niaga bersaiz 10′ X 10′.

Selain itu, Abdul Halim memberitahu pihaknya turut mengadakan kerjasama strategik dengan syarikat pengantar pesanan makanan dalam talian, Foodpanda demi menggalakkan lagi usahawan makanan di negeri ini mengadaptasi elemen pemasaran digital.

“Sesiapa yang terlibat sektor perniagaan makanan dan minuman (F&B), ada dua skim yang ditawarkan oleh (agensi negeri) Penang Halal International (PHI) iaitu boleh menggunakan khidmat pengantar Foodpanda menerusi (platform) PHI, lebih jimat.

“Selain itu, kita (MMK Keusahawan) juga bekerjasama dengan aplikasi Shopee dan setakat hari ini, jumlah usahawan yang menyertai kita dalam Penang E-Mall menerusi Shopee ini dah ada 5,300 (pihak berkepentingan),” jelasnya lagi.

Justeru, beliau berkata bahawa pihaknya akan terus melaksanakan dasar-dasar mesra keusahawanan demi memastikan semua pihak yang terjejas teruk dek pandemik COVID-19 dapat segera memulihkan kedudukan ekonomi masing-masing.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB