Dr. Afif: Sebulan berniaga di bazar Ramadan juga wajib suntik anti-tifoid

Admin

SEBERANG JAYA – Pengendali makanan di bazar Ramadan pada kali ini tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan anti-tifoid.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, pihaknya sepanjang bulan puasa ini akan melaksanana operasi pemantauan demi memastikan kualiti makanan yang disediakan di bazar Ramadan benar-benar berkualiti dan tak tercemar.

“Kalau tak pernah suntik (anti-tifoid), adalah wajib dapatkan suntikan terlebih dahulu sebelum berniaga, walaupun nak berniaga sebulan sahaja sahaja di bazar Ramadan.

“Kita juga akan pantau kualiti makanan yang disediakan di bazar Ramadan,“ jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika melawat Pasar Awam Sementara Jalan Tenggiri di sini pada 4 Mei 2019.

Turut serta, Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Shuhada Abdul Rahim, anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Tenggiri serta anggota Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) setempat.

Afif dalam pada itu turut melawat tapak bazar Ramadan yang berhampiran Pasar Awam Sementara Jalan Tenggiri.

“Melihat sambutan pengunjung di pasar awam sementara ini, dijangka isu parkir apabila bermulanya bazar Ramadan kelak mungkin bertambah sesak.

“Akan kita minta supaya pintu belakang di pasar awam ini turut dibuka, kita akan cuba urus isu parkir sebaik mungkin.

“Kita harap MPSP pun dapat melonggarkan langkah penguatkuasaan di bahu-bahu jalan berhampiran bazar ini, terutama pada waktu puncak,” serunya.

Di pasar awam ini, difahamkan lebih 200 gerai makanan dan barang-barang basah dibuka tiap-tiap hari.

Menurut Afif, beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan pasar berkenaan supaya operasi perniagaan di sini boleh dibuka sehingga 12 tengah malam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB