Dr. Norlela angkat sumpah sebagai Exco

Admin

GEORGE TOWN – Dr. Norlela Ariffin, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti mengangkat sumpah jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan di hadapan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dekat Seri Mutiara kira-kira jam 11 pagi tadi.

Turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Toh Puan Majimor Shariff.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri, Puan Tan Lean Kee; barisan Exco; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu; Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Norazmi Mohd. Narawi; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan berkenaan.

Pelantikan Norlela adalah bagi menggantikan Dr. Afif Bahardin yang juga ADUN Seberang Jaya yang meletak jawatan berkuat kuasa 4 Mac lalu.

Dalam pada itu, ketika ditemui, Norlela melahirkan rasa syukur di atas pelantikan tersebut.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri yang telah menerima pencalonan daripada PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan kepada pihak parti (PKR) yang telah mencalonkan saya sebagai Exco (wanita) Keadilan (PKR) pertama di Pulau Pinang.

“Alhamdulillah sekarang sudah ada dua Exco wanita di Pulau Pinang, saya berharap dapat menjalinkan kerjasama baik dengan YB Chong Eng (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam) dan semua Exco-Exco Kerajaan Negeri yang lain,” ujarnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & ALVIE CHENG
Video: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI