Draf Rancangan Tempatan bahagian pulau dibuka untuk publisiti dan penyertaan umum

Admin

GEORGE TOWN – Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 (DRTPPp 2030) kini dibuka untuk publisiti dan penyertaan awam selama dua bulan mulai 14 Oktober hingga 13 Disember ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa langkah itu adalah bagi membolehkan orang awam serta pihak-pihak berkepentingan mengemukakan cadangan, maklum balas mahupun bantahan yang akan diambil kira dalam memuktamadkan Draf Rancangan Tempatan tersebut.

Ketua Menteri meneliti Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 yang kini dibuka untuk publisiti dan penyertaan umum.

“Sepertimana kelaziman sesuatu Dokumen Draf Rancangan Tempatan dimuktamadkan, draf tersebut hendaklah melalui proses publisiti dan penyertaan awam seperti yang termaktub dalam Akta 172.

“Walaupun masa yang ditetapkan hanya sebulan tetapi kita melihat perkara ini sangat penting, justeru, kita lanjutkan tempoh publisiti dan penyertaan awam ini kepada dua bulan.

“Oleh itu, bagi mereka yang cintakan negeri Pulau Pinang, bolehlah mengemukakan pandangan serta maklum balas dalam tempoh ditetapkan ini.

“Salinan-salinan DRTPPp 2030 boleh diperoleh dan diperiksa di ruang pameran, Bangunan Syed Al Atas Lebuh Armenian dan Markerspace Balik Pulau.

“Cadangan dan pandangan boleh dilakukan melalui Borang Bantahan yang dikemukakan kepada MBPP secara individu, berkumpulan atau persatuan,” katanya pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam DRTPPp 2030 di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri ketika berucapkan pada pelancaran program publisiti dan penyertaan DRTPPp 2030.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang, TPr. Rozita Hamit; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Rajendran serta ramai lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa DRTPPp 2030 akan memandu perancangan dan pembangunan di dalam kawasan pentadbiran MBPP untuk tempoh sekarang hingga tahun 2030.

“Selain itu, Draf Rancangan Tempatan (setelah diwartakan) ini turut menjadi rujukan kepada komuniti, pemilik tanah, pemegang taruh dan orang awam khususnya yang tinggal di daerah Timur Laut dan Barat Daya.

“Dengan siapnya DRTPPp 2030 ini, maka secara rasminya lengkaplah perancangan di bahagian pulau di negeri ini.

“Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak urusetia dan agensi-agensi berkepentingan atas sokongan dan komitmen yang tinggi sehingga DRTPPp 2030 dapat direalisasikan dengan jayanya,” ulasnya.

Dalam pada itu, Tung Seang memaklumkan bahawa DRTPPp 2030 menggariskan tujuh keutamaan perancangan pembangunan iaitu pekerjaan, perumahan, pengangkutan, alam sekitar, risiko bencana, warisan dan infrastruktur.

“Konsep bandar pintar digunakan sebagai salah satu pendekatan untuk menyelesaikan isu-isu perbandaran bagi meningkatkan kualiti hidup, menggalak pertumbuhan ekonomi, membangun persekitaran mampan dan menggalak pengurusan bandar melalui penggunaan kemajuan teknologi.

“Selain itu, elemen hijau juga dijadikan asas perancangan dan pembangunan semasa pada masa hadapan selain penerapan nilai lestari dan berdaya huni bagi membentuk bandar yang harmoni,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD