Dua ADUN, dua Ahli Parlimen galas tugas ‘ADUN angkat’ – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Empat ‘ADUN angkat’ dilantik bagi menguruskan empat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang dikosongkan susulan usul pengisytiharan kekosongan yang dipersetujui majoriti diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 6 Mac 2023.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, ekoran pengosongan tersebut maka Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan untuk membolehkan pelantikan ‘ADUN angkat’ bagi menguruskan kawasan berkenaan.

 

 

“Bagi KADUN Bertam, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal dilantik sebagai ‘ADUN angkat’ dan bagi KADUN Seberang Jaya akan diberi perhatian oleh ADUN Machang Bubuk iaitu Lee Khai Loon.

 

 

“Manakala KADUN Sungai Acheh pula dinamakan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek yang juga Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Bakhtiar Wan Chik sebagai ‘ADUN angkat’ bagi KADUN Teluk Bahang,” ujarnya.

 

槟州首席部长曹观友与往年一样,风雨不改在国际妇女节当天早晨,到吉宁万山派送花朵,感谢女性的贡献。

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berkata demikian pada sidang media sejurus mengedarkan bunga di Pasar Chowrasta dekat sini sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan bahawa ‘ADUN angkat’ dilantik bagi menguruskan kawasan berkaitan supaya rakyat dan pengundi tidak berasa dipinggirkan dan ‘dijaga’ oleh Kerajaan Negeri.

 

 

“Malah, keempat-empat KADUN ini juga diberikan peruntukan yang sama supaya khidmat kepada rakyat dan pengundi di kawasan berkenaan tidak terjejas serta terkesan ekoran pengosongan itu.

 

 

“(Tambahan pula), taraf ‘ADUN angkat’ adalah sama dengan ADUN kawasan berkenaan seperti yang dilakukan lantikan pertama pada tahun 2020,” jelasnya.

 

 

Pada 6 Mac lalu, DUN Pulau Pinang telah meluluskan usul Pengisytiharan Kekosongan Empat Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

 

 

Yang Dipertua DUN Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang dalam kenyataannya semalam turut memberitahu bahawa sesuatu kekosongan luar jangka kerusi KADUN tidak boleh ‘diisi’ memandangkan tempoh pembubaran akan berlaku dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar & Video : SITI NURATIKAH RAHMAT