Dua Ahli Majlis MBPP baharu angkat sumpah pagi ini

Admin
GAMBAR kenang-kenangan selepas selesai istiadat Majlis Angkat Sumpah dan Melafazkan Ikrar Terimaan Jawatan oleh dua Ahli Majlis MBPP baharu, Tan Seng Keat dan Quah Boon Lim di Dewan Bandaraya di sini pada pagi tadi.

GEORGE TOWN – Tan Seng Keat dan Quah Boon Lim mengangkat sumpah serta ikrar terimaan jawatan sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang baharu di Dewan Bandaraya di sini sebentar tadi.

Istiadat tersebut disaksikan oleh Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang serta Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan barisan Ketua Jabatan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

SAMBIL disaksikan oleh Ar. Yew Tung Seang (kiri), Jagdeep Singh Deo menyampaikan ucapan sebelum bermulanya istiadat Majis Angkat Sumpah dan Melafazkan Ikrar Terimaan Jawatan oleh dua Ahli Majlis MBPP baharu di sini pada pagi tadi.

Ketika berucap, Jagdeep mengingatkan setiap Ahli Majlis supaya terus berusaha merealisasikan dasar-dasar pembangunan negeri ketika pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan memberi lebih tumpuan ke pada aspek keselamatan awam dan keselamatan kesihatan.

JAGDEEP Singh Deo

“Mungkin kita (Ahli Majlis PBT) sudah biasa (dengan istiadat majlis ikrar dan mengangkat sumpah terimaan jawatan Ahli Majlis), tetapi kita (MBPP) kena biasakan dengan keadaan yang sedikit berbeza kerana kita (Pulau Pinang) berada dalam Normal Baharu selepas COVID-19,” jelasnya di Dewan Persidangan Majlis di sini pagi tadi.

Difahamkan, Seng Keat, 57, pernah dilantik sebanyak dua kali sebagai Ahli Majlis MBPP bagi tempoh kepemimpinan tahun 2011 hingga 2013 dan 2018 – 2019.

Beliau yang merupakan seorang pengurus kumpulan sebuah firma insurans dilantik untuk tempoh kepemimpinan kali ketiga atas cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

QUAH Boon Lim

Sementara Boon Lim, 32, pula adalah muka baharu atas cadangan Parti Tindakan Demokratik (DAP), serta merupakan seorang ahli perniagaan.

Jagdeep menjelaskan bahawa lantikan Seng Keat dan Boon Lim adalah atas pengosongan jawatan oleh dua Ahli Majlis lantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Azahari Aris dan Azly Ibrahim.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut mendedahkan hasil laporan pemantauan SOP PKPP semasa sehingga 6 September lepas.

Menurutnya, hasil pemeriksaan MBPP di 271,790 premis sekitar kawasan pulau mendapati tahap pematuhan SOP PKPP adalah pada angka 99.60 peratus, sementara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula pada paras 99.33 peratus melibatkan pemantauan 510,829 premis sekitar kawasan Seberang Perai.

“Yang penting, kita (Kerajaan Negeri) nak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada MBPP dan MBSP kerana terus komited menjalankan pemantauan SOP (PKPP) yang melibatkan hampir 800,000 premis di seluruh negeri ini.

“Kita (PBT) boleh buat pemantauan SOP PKPP ini, tetapi perkara yang lebih penting adalah siapa yang mematuhi SOP ini iaitu rakyat Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

TAN Seng Keat

Seng Keat ketika ditemui Buletin Mutiara memberitahu bahawa ucapan Jagdeep itu sangat memberi panduan kepada beliau dalam melaksanakan tugas sebagai Ahli Majlis bagi tempoh kepemimpinan kali yang ketiga ini.

“Sebagaimana disebut oleh Yang Berhormat (Jagdeep) tadi, ucapannya adalah ingatan yang bagus kepada saya, saya akan cuba melakukan khidmat yang terbaik, juga menyokong misi-misi Kerajaan Negeri.

“Sekarang adalah era COVID-19, maka ada begitu banyak SOP mesti dipastikan pelaksanaannya untuk menjamin keselamatan awam dan keselamatan kesihatan,” jelasnya.

Nada yang sama turut dikongsikan oleh Boon Lim.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada rakyat Pulau Pinang.

“Saya juga akan memberi tumpuan untuk saling bekerjasama dengan MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) secara lebih erat untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan PBT,” jelasnya lagi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING