EP-MTG ke arah Pusat Halal Global

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

DUBAI – Berlandaskan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Pusat Halal Global yang menyediakan hab pelancongan Islam dilengkapi hospitaliti Halal, Kerajaan Negeri menerusi Halal Penang dan Penang Global Tourism (PGT) telah menerbitkan rujukan berdaftar dalam bentuk ringkasan, ‘Experience Penang – A Muslim Travel Guide 2014 (EP-MTG).

Serentak itu, hasil usahasama George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Malaysia Travel and Tours Association (MATTA), buku Penang Muslim Enclave turut diterbitkan bagi melengkapkan lagi permintaan terhadap pertumbuhan industri pelancongan Islamik di Pulau Pinang.

Kedua-dua buku tersebut dilancarkan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sempena festival Arab Travel Mart yang berlangsung di Dubai International Convention and Exhibition Center baru-baru ini.

Turut serta, Pengerusi Penang International Halal Hub (Halal Penang) yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Abdul Malik berkata, EP-MTG merupakan sebuah ringkasan berguna yang menyenaraikan pelbagai tempat makanan halal, kedai, tarikan membeli-belah, acara atau sambutan-sambutan penting dan juga destinasi pelancongan yang mampu memenuhi kehendak pelancong beragama Islam.

“Menariknya, dalam edisi 2014, EPMTG turut menyediakan panduan perjalanan dengan lebih terperinci dan mempunyai ilustrasi bergambar serta diterbitkan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab,” katanya.