SERI DELIMA – Penduduk di kawasan Seri Delima bakal menikmati kemudahan sukan baharu apabila dua gelanggang pickleball awam di Taman Tun Sardon dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini sebelum dibuka secara rasmi kepada orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata, sebelum gelanggang tersebut mula beroperasi, beberapa sesi perbincangan dan penyelarasan akan diadakan bersama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebelum kemudahan itu diserahkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi tujuan pengurusan dan operasi.
Menurut beliau, pembinaan gelanggang tersebut adalah susulan permintaan tinggi daripada komuniti setempat yang semakin aktif menyertai sukan pickleball sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seri Delima boleh dikatakan antara kawasan yang paling aktif dalam sukan pickleball di Pulau Pinang.
“Sebelum ini terdapat lima gelanggang pickleball awam di kawasan ini dan dengan penambahan dua gelanggang baharu di Taman Tun Sardon, jumlah keseluruhan gelanggang awam akan meningkat kepada tujuh,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
Hooi Peng berkata, populariti sukan tersebut bukan sahaja didorong oleh sifatnya yang mudah dipelajari, malah ia sesuai dimainkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
Beliau berkata, ramai penduduk kini lebih aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat selepas berjinak-jinak dengan sukan berkenaan, termasuk golongan warga emas yang masih cergas bermain walaupun berusia lebih 70 tahun.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pembangunan kemudahan sukan lain turut diberi perhatian di kawasan Seri Delima.
“Kerja-kerja menaik taraf gelanggang futsal di Taman Tun Sardon sedang dilaksanakan, manakala projek pembinaan gelanggang bola keranjang baharu turut dirancang di Taman Jepun (Island Park).
Hasrat saya adalah untuk melihat lebih ramai penduduk Seri Delima mengamalkan gaya hidup aktif dan menjaga kesihatan supaya dapat menikmati usia yang panjang dengan kualiti hidup yang lebih baik,” katanya.
Selain gelanggang pickleball, pengguna juga bakal menikmati kemudahan Astaka Taman Tun Sardon yang kini sedang dinaik taraf dan dijangka siap pada September ini.
Beliau berharap kawasan tersebut dapat berkembang menjadi hab komuniti yang menghimpunkan aktiviti riadah, interaksi sosial dan kemudahan rekreasi dalam satu lokasi yang kondusif.
Dalam pada itu, Hooi Peng memaklumkan bahawa pihaknya merancang untuk menganjurkan kejohanan pickleball di Seri Delima pada tahun ini selain terbuka melaksanakan program pembangunan sukan seperti klinik latihan dan aktiviti pengenalan kepada komuniti.
Menurut beliau, kemudahan baharu itu juga berpotensi menjadi platform melahirkan bakat-bakat muda yang mampu bersaing pada peringkat lebih tinggi.
Saya berharap kemudahan ini dapat menjadi platform untuk memupuk dan menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi sukan pickleball secara kompetitif.
“Kita mahu membina bakat-bakat tempatan yang berpotensi mewakili Pulau Pinang pada masa hadapan, khususnya sekiranya pickleball disenaraikan sebagai acara rasmi dalam temasya SUKMA,” katanya.
Menyentuh mengenai pengurusan gelanggang, beliau berkata bahawa sistem tempahan akan dilaksanakan menerusi aplikasi ReClub bagi memudahkan orang ramai membuat tempahan.
Jelasnya lagi, pengurusan harian kemudahan itu akan dikendalikan oleh MPKK tempatan, manakala maklumat lanjut mengenai kaedah tempahan dan peraturan penggunaan akan diumumkan semasa majlis pelancaran rasmi nanti.
Mengulas mengenai pelaksanaan projek tersebut, Hooi Peng memberitahu bahawa kerjasama baik daripada MBPP banyak membantu memastikan projek berjalan lancar mengikut perancangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar MBPP atas keterbukaan terhadap idea-idea baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Cabaran utama hanyalah memastikan kontraktor yang dilantik dapat melaksanakan kerja mengikut spesifikasi dan standard yang ditetapkan supaya gelanggang yang dibina berkualiti tinggi serta tahan lama,” katanya.
Gambar: ADUN