Dua lagi Ahli Majlis MBSP angkat sumpah hari ini

Admin

SEBERANG JAYA – Dua lagi Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengangkat sumpah terimaan jawatan hari ini.

Mereka ialah Datuk Mohd. Noor Ahmad dan Datuk Omar Abdul Hamid daripada Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Kedua-duanya mengangkat sumpah di hadapan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Badrul Amin Abdul Hamid dekat Menara Bandaraya, di sini sebentar tadi.

Pelantikan tersebut sekali gus telah melengkapkan senarai kesemua 24 Ahli Majlis MBSP bagi sesi 2023/2024.

Bercakap kepada Buletin Mutiara sebelum ini, Mohd. Noor Ahmad yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas pelantikan tersebut.

“Sebelum ini saya pernah dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada tahun 2002 sehingga 2008 dan mula terlibat dengan politik sejak tahun 1993 lagi.

“Saya berharap dengan pengalaman yang ada sebelum ini dapat membantu merancakkan pembangunan di Seberang Perai,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Omar yang merupakan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor pula berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis.

“Saya bersyukur dan pastinya pengalaman selama lebih tiga dekad akan terus disumbangkan demi memastikan pembangunan negeri Pulau Pinang ke tahap yang tertinggi,” jelasnya yang merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pematang Berangan selepas menang pada Pilihanraya Umum Ke-13.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR