Dua laporan polis dibuat susulan fitnah babitkan Ketua Menteri dan DAP

Admin

GEORGE TOWN – Dua laporan polis dibuat hari ini susulan fitnah yang tular melalui media sosial dan menggunakan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri, Teh Lai Heng di Balai Polis Jalan Patani dan satu lagi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi H’ng Mooi Lye di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Nibong Tebal.

Menurut Lai Heng, laporan polis dibuat susulan fitnah yang disebarkan melalui pengguna akaun Facebook dan laman sosial lain atas nama ‘Eunos Khai’ yang bertulis “Sekarang DAP Berkuasa Di Malaysia, Siapa Tak Suka DAP Keluar Dari Malaysia” dan tertera gambar Ketua Menteri.

“Saya ingin menyatakan di sini bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Chow Kon Yeow mahupun Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak pernah membuat apa-apa kenyataan seperti yang dinyatakan oleh pemilik akaun Facebook ‘Eunos Khai’.

“Ini merupakan satu tuduhan dan fitnah yang tidak berasas terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mana perkara ini juga boleh menganggu-gugat ketenteraman  awam  dan  menyebabkan  rusuhan.

“Saya memohon dan menuntut  tindakan  segera  diambil  oleh  pihak  polis  dan  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia  di  bawah  Seksyen  233  Akta  Multimedia  dan  Komunikasi 1998  dan  Seksyen  499,  Seksyen  500  serta  Seksyen  505  (b)  dan  Seksyen  505  (c)  Kanun Keseksaan  terhadap  pihak-pihak yang  terus  menyebarkan  dan  memuat  naik perkara  ini,” ujarnya pada sidang media sejurus selesai membuat laporan di sini tadi.

 

Difahamkan, Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar menyedari akan perkara tersebut pada 20 November 2019 (semalam) kira-kira jam 6:30 petang ketika berada di Pejabat Ketua Menteri di Komtar.

Hadir sama, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN